Separuh barisan exco Johor diwakili golongan muda
JOHOR BAHRU, 16 Mei (Bernama) -- Barisan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Johor yang baharu dilantik hari ini, menyaksikan 50 peratus daripadanya adalah golongan muda.
Menteri Besar Datuk Osman Sapian berkata ini kerana sebahagian exco yang dipilih itu berusia bawah 45 tahun.
Mereka adalah Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya Liow Cai Tung yang dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Pelancongan negeri serta ADUN Paloh Sheikh Umar Bagharib Ali selaku Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Ekonomi Kreatif.
Tiga lagi ialah ADUN Bukit Batu Jimmy Puah Wee Tse yang memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti, ADUN Bukit Kepong Dr Sahruddin Jamal (Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian) dan ADUN Skudai Tan Hong Pin (Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar).
Pada sidang media selepas majlis angkat sumpah barisan Exco kerajaan negeri hari ini, Osman berkata bagi portfolio Liow, kerajaan negeri ingin mencari kaedah untuk memastikan pelancong luar bukan sahaja melawat, malah menginap serta berbelanja di Johor.
Beliau berharap Liow dapat menambah baik sektor pelancongan negeri memandangkan ADUN Johor Jaya itu berpengalaman menjadi wakil rakyat untuk penggal kedua.
"Kita tidak mahu pelancong datang ke mari sebagai pelancong 'coca-cola', bermakna hanya bersiar-siar di sini tetapi tidur di Singapura dan sebagainya. Kita perlu memastikan mereka tinggal dan berbelanja di sini. Itulah dinamakan pelancong," katanya.
Osman berkata bagi portfolio melibatkan Ekonomi Kreatif, kerajaan negeri akan memastikan golongan muda dapat melahirkan idea bernas bagi menjana pendapatan menerusi perniagaan kreatif yang tidak memerlukan modal besar.
Beliau yakin dalam tempoh lima tahun akan datang, keseluruhan barisan exco akan dapat memberi kerjasama yang baik dalam membawa Johor maju ke hadapan.
"Barisan exco ini saya rujuk kepada Sultan Johor (Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar) dan kita juga bermesyuarat dengan kepimpinan setiap parti, kita menganalisa dan memberi perincian tentang pengalaman dan kewibawaan serta sumbangan mereka dalam parti sebelum dan sehingga mereka menang pilihan raya umum," katanya.
-- BERNAMA