Ketua Menteri umum portfolio 10 exco Melaka




MELAKA, 16 Mei (Bernama)-- Ketua Menteri Melaka Adly Zahari hari ini mengumumkan portfolio 11 anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di pejabatnya di Seri Negeri di sini.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka itu berkata beliau yakin barisan Exco yang terdiri daripada gabungan orang muda dan mereka yang berpengalaman itu dilihat dapat memberi impak positif pada kesejahteraan rakyat serta kemajuan dan kemakmuran negeri.

"Kita akan bekerja secara bermuafakat, berkumpulan dan bersatu dalam menyalurkan idea atau pandangan tentang sesuatu isu."

"Perkara yang positif atau baik hasil perbincangan bersama kita akan laksanakan untuk kebaikan rakyat," katanya pada sidang akhbar.

Sementara itu, katanya, anggota Dewan Undangan Negeri daripada PH yang tidak terpilih sebagai exco diberi peranan dalam agenda Melcat (Melaka Competency, Accountability, and Transparency) dan peranan mereka sama penting dengan peranan exco.

Dalam pada itu, Adly berkata mesyuarat exco kali pertama yang berlangsung hari ini membincang beberapa isu termasuk hala tuju Slogan 'Melaka Berwibawa', mewujudkan semula pinjaman pendidikan bagi pelajar Timur Tengah, meluluskan pelantikan pegawai di Jabatan Ketua Menteri dan Hari Bersama Rakyat pada setiap Jumaat.

Beliau berkata Hari Bersama Rakyat itu akan diadakan di Pejabat Ketua Menteri dan pelbagai agensi akan turut terlibat untuk mendengar masalah rakyat antara 9 pagi hingga 12.15 tengah hari dan dari 3 petang hingga 5 petang.

PH membentuk kerajaan negeri melalui majoriti mudah apabila memperoleh 15 daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU14 dan Adly juga ADUN Bukit Katil mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-11, Jumaat lepas, manakala 10 Exco itu mengangkat sumpah hari ini.

Berikut adalah senarai portfolio Exco kerajaan Melaka yang baharu:

1. Adly Zahari (Ketua Menteri) - Exco Kewangan, Tanah, Perancangan Ekonomi dan Hal Ehwal Agama.

2. Mohd Rafiq Naizamohideen - Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan.

3. Tey Kok Kiew - Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar.

4. Muhammad Jailani Khamis - Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan.

5. Mohd Sofi Abdul Wahab - Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam.

6. G. Saminathan - Perpaduan, Sumber Manusia, NGO dan Hal Ehwal Pengguna

7. Norhizam Hassan Baktee - Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani.

8. Ginie Lim Siew Lin - Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan.

9. Noor Effandi Ahmad - Pendidikan, Sains dan Teknolgi, Teknologi Hijau dan Inovasi.

10. Low Chee Leong - Kesihatan.

11. Kerk Chee Yee - Komunikasi, Multimedia, Pembangunan Belia dan Sukan.

-- BERNAMA