Kerajaan baharu perlukan masa, apa boleh dilakukan adalah bantu PM - Rafidah




Oleh Azlee Nor Mahmud

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Kerajaan baharu memerlukan masa yang cukup bagi merangka semula strategi dan melaksanakan langkah-langkah terhadap polisi, termasuk menghapuskan tol serta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kata bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz.

"Sekurang-kurangnya, apa yang boleh kita lakukan pada masa ini adalah membantu Perdana Menteri. Tun Dr Mahathir (Mohamad) kini berada pada landasan yang betul kerana apa yang dilaksanakan ini adalah antara beberapa langkah pertama, dan landasan ini sangat panjang," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual di sini, hari ini.

Rafidah yang pada masa ini adalah Pengerusi AirAsia X Bhd berkata, Dr Mahathir serta sekumpulan pakar termasuk beliau, yang bertindak memberikan nasihat dan input mengenai langkah strategik ke hadapan, akan menghasilkannya (sesuatu) dalam masa terdekat.

"Perancangan ini adalah segera, (begitu juga) dalam konteks jangka sederhana seperti yang berkaitan dengan GST. Ia tidak mungkin berlaku esok."

"Kita menunggu selama 10 tahun untuk ini (kerajaan baharu) berlaku dan anda mahukan ia (pemansuhan) esok, realistiklah."

"Anda tidak boleh membetulkan sesuatu yang sudah rosak dalam masa dua hari, malah dua bulan," tegasnya.

Beliau menyatakan bahawa, formula GST adalah tidak betul dan itu sebabnya mengapa rakyat memberikan reaksi negatif, hampir seragam.

Justeru, kerajaan perlu melihat semula formula itu.

Cukai Nilai Tambah (VAT) serta Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) (yang diperkenalkan bertahun lalu) tidak membabitkan pengiraan dua kali cukai berkenaan kerana rakyat hanya membayar caj minimum.

"Kita perlu melaksanakan formula di mana rakyat tidak mempunyai masalah dengannya," tegas Rafidah.

Jelasnya, rakyat Malaysia tidak membayar enam peratus pro rata sewaktu tempoh VAT dan SST, juga tiada siapa yang ambil kisah pada masa itu, justeru kerajaan perlu kembali kepada kaedah itu.

Bagaimanapun katanya, beberapa tahun lepas apabila GST dilaksanakan, sebahagian besar perolehan kerajaan pergi kepada perkara-perkara yang tidak perlu seperti perbelanjaan yang tidak produktif dan subsidi yang tidak memberikan nilai tambah, sebaliknya melembutkan hati rakyat untuk mendapatkan undi mereka.

Beliau mengulangi bahawa, perubahan polisi perlu dilakukan dengan berhati-hati dan adalah satu kesilapan untuk mengumumkan dan menghasilkan semula polisi tanpa kajian mendalam.

-- BERNAMA