Warisan kemuka enam calon Menteri Persekutuan





KOTA KINABALU, 16 Mei (Bernama) -- Parti Warisan Sabah (Warisan) telah mengemukakan nama enam Anggota Parlimen daripada parti itu untuk dicalonkan sebagai menteri atau timbalan menteri di peringkat kerajaan Persekutuan, kata Presidennya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Ketua Menteri Sabah itu berkata kesemua nama yang dikemukakan itu mempunyai kelulusan dan keupayaan untuk membantu dalam pentadbiran negara.

"Kita telah kemukakan enam nama dari Warisan termasuk Anggota Parlimen Penampang Ignatius Darell Leiking yang juga timbalan presiden Warisan, Anggota Parlimen Batu Sapi Datuk V.K. Liew, Ahmad Hassan (Anggota Parlimen Papar), dan Mohammad Din Ketapi (Anggota Parlimen Silam)."

"Nama mereka telah dihantar namun saya akan ke Kuala Lumpur untuk berjumpa dengan tokoh-tokoh yang boleh membuat keputusan, khususnya Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menjelaskan secara terperinci mengenai perkara itu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Shafie berkata beliau juga telah meminta PKR dan DAP Sabah untuk mengemukakan nama kepada pimpinan pusat untuk dipertimbangkan.

"Namun segala keputusan untuk memilih berada di tangan perdana menteri dan kita percaya beliau boleh melihat dan mengambil kira untuk Sabah," katanya.

Sementara itu, mengulas barisan jemaah menteri Sabah yang mengangkat sumpah hari ini, Mohd Shafie berkata mereka mempunyai kebolehan dan keupayaan tersendiri.

Seramai 10 Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah termasuk dua ADUN dilantik, hari ini mengangkat sumpah sebagai anggota jemaah menteri Sabah yang baharu manakala 18 ADUN mengangkat sumpah sebagai pembantu menteri di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dalam istiadat berlangsung di Istana Negeri, di sini.

"Dalam istiadat hari ini kita turut melantik dua ADUN untuk membolehkan mereka memegang jawatan dalam jemaah menteri. Mereka ialah Pemangku Presiden UPKO Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang juga Anggota Parlimen Tuaran yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Perdagangan dan Perindustrian."

"Manakala Pengerusi DAP Sabah Stephen Wong selaku Anggota Parlimen Sandakan dilantik Menteri Pembangunan Infrastruktur. Pelantikan mereka adalah mempunyai asas, misalnya Madius dilantik untuk mewakili UPKO dan masyarakat Kadazan, Dusun dan Murut (KDM)," katanya.

Mohd Shafie berkata empat lagi ADUN yang dilantik akan diumumkan dalam masa terdekat.

"Menteri dan pembantu menteri yang telah dilantik adalah mewakili semua kaum yang ada di Sabah dan saya juga telah melantik golongan pelapis," katanya.

Beliau berkata tiga kementerian baharu juga diwujudkan iaitu Kementerian Pelajaran dan Inovasi, Kementerian Hal Ehwal Undang-Undang Anak Negeri dan Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat.

"Ia diwujudkan dengan asas yang kukuh. Contohnya kita wujudkan Kementerian Hal Ehwal Undang-Undang Anak Negeri kerana terdapat beberapa masalah dari segi kaum dan agama. Oleh itu kita telah letak tokoh yang benar-benar layak untuk menerajui kementerian ini," katanya.

-- BERNAMA

AE AE RHM