Dr Mahathir komited laksanakan pembaharuan terhadap negara





PUTRAJAYA, 16 Mei (Bernama) -- Seminggu selepas mengambil alih teraju pentadbiran Malaysia, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menumpukan komitmen beliau terhadap tugas berat bagi melaksanakan pembaharuan terhadap negara ini.

"Ia menuntut banyak masa dan tenaga... saya tidak mendapat tidur secukupnya."

"Bagaimanapun, saya perlu melakukannya kerana mereka melantik saya menjadi perdana menteri. Saya tak boleh bersungut banyak-banyak," katanya pada sidang akhbar yang penuh sesak dengan anggota media di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, hari ini.

Pengerusi Pakatan Harapan itu mencipta sejarah Khamis lepas apabila mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri Malaysia bagi kali kedua pada usia 92 tahun berikutan kemenangan besar dan mengejutkan gabungan itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei.

Dr Mahathir menjadi perdana menteri untuk kali pertama pada 1981 ketika berusia 56 tahun dan merupakan perdana menteri keempat Malaysia.

Beliau berundur daripada jawatan itu pada 2003 setelah berkhidmat selama 22 tahun.

Pada sidang akhbar hari ini, Dr Mahathir juga mengucapkan "Selamat Berpuasa" kepada seluruh umat Islam di negara ini, yang akan memulakan ibadah puasa Ramadan esok.

Bersempena sambutan Hari Guru hari ini pula, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua guru di Malaysia atas sumbangan mereka kepada negara dan generasi muda.

-- BERNAMA