Setakat ini, UPP kekal parti politik bebas




KUCHING, 16 Mei (Bernama) -- Parti Rakyat Bersatu (UPP) menjelaskan bahawa parti itu kekal sebagai parti politik bebas yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

UPP, dalam kenyataan hari ini, berkata parti itu memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) bagi mencapai kata putus untuk bergabung.

"Oleh kerana persediaan untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kami hanya mempunyai peluang untuk mengadakan perbincangan awal dalam Jawatankuasa Perundingan yang ditubuhkan di bawah MoU."

"Kecuali dan sehingga kedua-dua pihak mencapai kesepakatan mengenai syarat penggabungan, UPP akan aktif sepenuhnya sebagai parti politik bebas."

"Kami menggesa semua pemimpin dan ahli UPP untuk terus berkhidmat kepada rakyat dan menyokong semua aktiviti parti. Kami menjamin bahawa semua pemimpin UPP akan bertindak demi kepentingan parti dan semua ahlinya," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA