Anwar hapus kecurigaan kerjasama dengan Dr M





KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Sebelum dibebaskan, ramai orang, sama ada penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pun mereka dari parti lawan meragui apakah beliau boleh bekerjasama dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah memecatnya dari Kabinet 20 tahun lalu.

Anwar dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 2 Sept 1998, dan keesokannya disingkirkan dari UMNO daripada jawatan timbalan presiden dan anggota parti itu atas dakwaan salah guna kuasa dan salah laku seksual.

Persoalan besar itu terjawab hari ini bila Anwar menyatakan kesediaannya melupakan segala apa yang telah berlaku dan membenam sebarang rasa permusuhan.

Anwar berkata, beliau mengutamakan kepentingan rakyat dan berhasrat membantu Dr. Mahathir melaksanakan agenda pembaharuan negara dan tidak tergesa-gesa kembali ke kancah politik tanah air.

Pada sidang media pertamanya di rumahnya di Bukit Segambut di sini selepas dibebaskan dari penjara hari ini, Anwar seperti biasa kelihatan tenang menghadapi media malah sempat berseloroh apabila membenarkan soalan pertama diajukan oleh wartawan dari stesen televisyen swasta TV3 yang dikatakan 'tidak mesra' dengan beliau selepas pemecatannya dari Umno dan kerajaan.

"Tengok saya bagi peluang kepada TV3,? katanya sambil disambut tawa oleh semua anggota media yang lain."

Baru-baru ini, Mahkamah Tinggi mengarahkan stesen tv itu membayar ganti rugi lebih RM1.1 juta dalam kes memfitnah beliau sebagai dalang pencerobohan di Lahad Datu.

Anwar, yang popular dengan gelaran 'Pak Syeikh' pada zaman kegemilangannya menyandang jawatan timbalan perdana menteri menggariskan dua perkara penting.

Pertama, sokongan kepada Dr Mahathir dan beliau komited terhadap agenda pembaharuan, yang merupakan agenda golongan muda di negara ini.

Kedua, Anwar berkata pemerintahan ini bukan sistem diktator atau urusan secara berseorangan dalam pentadbiran negara.

Sebarang keputusan akan dibuat secara bersama pasukan pemimpin daripada empat parti dalam Pakatan Harapan dengan Dr Mahathir, yang menjadi peneraju utama dalam pentadbiran.

Dalam pada itu, kegembiraan Anwar atas pembebasannya hari ini jelas terpancar di wajahnya yang sentiasa mengukir senyuman.

"Alhamdulillah, terima kasih Tuanku" adalah kata-kata pertama beliau kepada media - Bernama yang membuat liputan beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Anwar diiringi oleh isterinya yang juga presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang kini menyandang jawatan timbalan perdana menteri; dan timbalan presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Perjalanan beliau hari ini bermula dari Hospital Rehabilitasi Cheras, di mana beliau menjalani rawatan kerana kecederaan di bahu, menuju ke Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Sebelum itu, penyokong-penyokongnya berkumpul di perkarangan hospital berkenaan.

Anwar diiringi pegawai-pegawai dari Jabatan Penjara dan polis trafik ke Istana Negara.

Laungan 'reformasi' dan sorakan kegembiraan puluhan penyokong menyambut kepulangannya sebaik tiba di perkarangan rumahnya di Bukit Segambut Dalam, dari Istana Negara kira-kira pukul 1.30 petang.

Pengamal media tempatan dan asing juga telah bertumpu di kawasan rumahnya itu, siap-siaga menunggu beliau sejak pukul 11 pagi walaupun dimaklumkan sidang media pertamanya hanya akan diadakan pada pukul 4 petang.

Satu majlis ringkas penyerahan Anwar diadakan di perkarangan rumahnya. Kemudian, pegawai-pegawai Jabatan Penjara masing-masing bersalaman dengan Anwar sebelum meninggalkan rumah berkenaan dengan kenderaan jabatan.

Suaranya yang cukup jelas dan ketajaman dalam melontarkan kata-kata memperlihatkan pemimpin itu tidak luntur semangat dan kredibilitinya walaupun setelah lebih tiga tahun hidup di sebalik tirai besi.

Selesai sidang media, Anwar memeluk anggota keluarganya termasuk cucunya sebelum beredar ke dalam rumah.

-- BERNAMA