Parti politik Sarawak wajar bekerjasama dengan kerajaan pusat




KUCHING, 16 Mei (Bernama) -- Adalah lebih baik bagi bagi parti-parti politik di Sarawak bersatu dalam sebuah pertubuhan dan bekerjasama dengan kerajaan pusat bagi menjaga dan melindungi kepentingan negeri itu, kata seorang penganalisis politik.

Datuk Peter Minos, pengerusi Persatuan Warisan Bung Bratak dan mantan timbalan ketua penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata parti-parti politik hendaklah menghormati suara rakyat menerusi peti undi.

"Kini kerajaan pusat di tangan Pakatan Harapan dan rakyat telah bebas bersuara, kita haruslah menghormati suara rakyat and juga perdana menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan kerajaan pusat.

"Tiada sebab kita perlu bertelagah dengan perdana menteri dan kerajaan pusat . Kita di Sarawak mesti bekerjasama dangan Putrajaya sebagai satu pasukan agar suara Sarawak didengari dan mendapat perhatian," katanya kepada Bernama.

Minos berkata parti-parti politik di Sarawak harus mempertimbangkan cara Parti Warisan Sabah di negeri jiran.

Warisan, pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang kini ketua menteri Sabah telah menjalinkan kerjasama dengan Pakatan Harapan ketika pilihan raya umum pada 9 Mei.

Minos berkata adalah enak didengar apabila parti-parti politik di Sarawak mahu menubuhkan sebuah parti politik gabungan berasaskan Sarawak bagi meneruskan perjuangan melindungi dan mempromosikan hak dan kepentingan Sarawak.

"Kepentingan itu termasuk memulangkan sepenuhnya kuasa Sarawak dalam perjanjian Malaysia 1963 , menikmati pendapatan yang lebih besar daripada hasil minyak dan gas Sarawak, penggunaan bahasa Inggeris serta melindungi hak yang sedia ada terhadap tanah, balak dan hasil semula jadi."

-- BERNAMA