M. Kulasegaran-pejuang rakyat
IPOH, 18 Mei (Bernama) -- Anggota Parlimen Ipoh Barat bagi empat penggal M. Kulasegaran adalah seorang peguam terkenal dan berpengalaman di negara ini sebelum dilantik sebagai Menteri Tenaga Manusia dalam kabinet baharu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.
Peguam berusia 60 tahun yang masih mengamalkan profesion guaman itu juga ialah Naib Pengerusi Kebangsaan DAP dan Naib Presiden Pakatan Harapan.
Anak bongsu kedua daripada sembilan beradik itu yang dibesarkan di estet mendapat pendidikan di Anglo-Chinese School, Sitiawan.
Selepas memperoleh ijazah B.A (Hons), Barrister at Law dari Lincoln´s Inn, London, Kulasegaran membuka firma guaman Kula & Associates yang mula beropearsi pada 1 Mei, 1985.
Beliau diterima masuk ke English Bar pada Julai 1982 oleh Honourable Society of Lincoln's Inn dan selepas itu, beliau diterima masuk dan didaftar sebagai Peguambela dan Peguamcara di Mahkamah Tinggi di Malaya pada 1983.
Kulasegaran menyertai DAP pada 1983 selepas diperkenalkan oleh orang kuat DAP, P. Patto.
Kulasegaran memenangi kerusi parlimen Ipoh Barat untuk kali pertama pada Pilihan Raya Umum ke-11 selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Ir Ho Cheong Sing dengan majoriti tipis 598 undi.
Pada PRU 2008, beliau memperoleh kemenangan padu dengan majoriti 15,534 undi, menewaskan calon BN Datuk Yik Phooi Hong.
Pada PRU13, Naib Pengerusi DAP itu bagi penggal 2012-2015 mengekalkan kerusi Ipoh Barat dan mengekalkan kerusi itu pada PRU14 menewaskan Dr Cheng Wei Yee dari Barisan Nasional.
-- BERNAMA