Berita Tergempar
PM ANWAR EXPRESSES CONDOLENCES TO THE FAMILY OF EGYPTIAN ISLAMIC MOVEMENT ACTIVIST YOUSSEF NADA WHO PASSED AWAY TODAY | 

Dr Maszlee Malik - Dari pensyarah ke Menteri Pendidikan




http://www.telagabiru.com.my/penulis/dr-maszlee-malik

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Dr Maszlee Malik, Anggota Parlimen Simpang Renggam yang hari ini dinamakan sebagai Menteri Pendidikan, berazam untuk memperbaiki sistem pendidikan termasuk meringankan beban guru.

Menurutnya, sistem pendidikan negara sekarang perlu disuntik dengan kaedah baharu selain tidak harus terlalu tertumpu kepada ranking (kedudukan) dan peperiksaan.

"Yang perlu diubah antaranya ialah bebanan guru yang perlu melakukan kerja-kerja seperti perkeranian dan tidak menumpukan perhatian kepada perkara utama iaitu mengajar manakala pelajar pula dibebani dengan beg berat kerana perlu membawa buku yang banyak," katanya.

Ketika ditemu bual dalam program terbitan Astro Awani malam ini, Maszlee, 44, mengakui tidak menjangka diberi portfolio pendidikan yang menurut beliau lazimnya diterajui mereka yang lebih senior dan berpengalaman.

Nama beliau tersenarai dalam barisan 14 anggota kabinet Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V hari ini. Mereka dijadual mengangkat sumpah jawatan pada Isnin. Anggota kabinet yang lain bakal dilantik kemudian.

Dilahirkan di Johor Bahru, Maszlee merupakan pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Beliau turut menyumbang kepada beberapa badan pemikir dan sering menjadi panelis atau moderator bagi forum yang membincangkan isu-isu berkaitan politik Islam dan politik Timur Tengah,

Beliau memperolehi ijazah sarjana muda dari Universiti Al al- Bayt, Jordan dan meneruskan pengajian ke peringkat ijazah sarjana di Universiti Malaya, kedua-duanya dalam bidang Fiqh dan Usul al-Fiqh.

Maszlee kemudian melanjutkan pelajaran di School of Governments and International Affairs di Universiti Durham, United Kingdom pada 2007 dan mendapat ijazah kedoktoran dalam bidang "Good Governance" pada 2011.

-- BERNAMA