Berita Tergempar
PM ANWAR EXPRESSES CONDOLENCES TO THE FAMILY OF EGYPTIAN ISLAMIC MOVEMENT ACTIVIST YOUSSEF NADA WHO PASSED AWAY TODAY | 

Kestabilan kerajaan negeri, kepercayaan rakyat Selangor pertimbangan pilihan jawatan - Azmin





PUTRAJAYA, 19 Mei (Bernama) -- Kestabilan kerajaan negeri dan kepercayaan rakyat Selangor adalah antara faktor yang akan dipertimbangkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk membuat pilihan sama ada kekal sebagai Menteri Besar Selangor atau menerima pelantikan sebagai menteri di peringkat Persekutuan.

Mohamed Azmin berkata beliau bertemu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini bagi mendapat gambaran terperinci mengenai peranan yang akan dimainkannya selepas diumumkan sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Menurutnya, dalam pertemuan hampir sejam dengan Dr Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, perdana menteri mahu beliau berperanan dalam membantu merancang dasar dan strategi bagi memperkukuh serta membangunkan ekonomi negara.

Mohamed Azmin berkata beliau akan menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam masa terdekat bagi memaklumkan tentang tugasan baharu yang diberikan perdana menteri sebelum membuat keputusan rasmi mengenai kedudukannya.

"Penjelasan mengenai perkembangan terbaharu itu kepada Sultan Selangor amat penting kerana ia melibatkan jawatan menteri besar dan sebarang perubahan perlu berjalan dalam keadaan tertib dan teratur," katanya kepada pemberita selepas pertemuan tersebut.

Semalam, Dr Mahathir mengumumkan senarai 15 menteri kabinet termasuk menamakan Mohamed Azmin sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Dalam reaksinya, Mohamed Azmin dilaporkan berkata beliau tidak akan memegang dua jawatan itu serentak dan akan bertemu dengan perdana menteri untuk membincangkan bidang tugas serta mendapatkan penjelasan lanjut mengenai pelantikannya sebagai menteri peringkat Persekutuan.

Ditanya mengenai perkara pertama yang akan dilakukan jika menerima keputusan menjadi menteri Kabinet, Mohamed Azmin berkata beliau akan melihat semula semua projek mega yang diluluskan kerajaan terdahulu.

Beliau berkata keutamaan akan diberikan kepada projek yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat seperti bekalan air dan perumahan awam yang mana kerajaan Selangor mempunyai kepakaran dan pengalaman mengenainya.

-- BERNAMA