Berita Tergempar
PM ANWAR EXPRESSES CONDOLENCES TO THE FAMILY OF EGYPTIAN ISLAMIC MOVEMENT ACTIVIST YOUSSEF NADA WHO PASSED AWAY TODAY | 

Kekalkan keamanan selepas PRU14 - Tengku Abdullah





KUANTAN, 19 Mei (Bernama) -- Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah supaya mengekalkan keamanan dan perpaduan antara pelbagai bilangan bangsa dan kaum di negara ini.

Baginda bertitah supaya mengenepikan sebarang sentimen perkauman dan perlu terus mengekalkan keharmonian, saling hormat dan toleransi antara satu sama lain.

"Saya harap setelah negara kita baru sahaja selesai Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), jangan ada mana-mana pihak cuba terus mencetuskan rasa kurang selesa dengan bertindak mewujudkan ketegangan dan permusuhan di kalangan rakyat yang boleh menjejaskan semangat permuafakatan dan perpaduan di kalangan rakyat.

"Janganlah ada unsur fitnah-memfitnah, mencaci dan menuduh antara satu sama lain serta membuat cerita-cerita yang tidak benar sehingga menimbulkan syak wasangka seterusnya mencetuskan permusuhan antara sesama rakyat dan akan mengakibatkan kerugian kepada generasi kita di masa depan," tambah Baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Berbuka Puasa dan pengurniaan sumbangan kepada golongan yang memerlukan di Masjid Kampung Paya Bungor, di sini hari ini. Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

"Janganlah kita terlalu ghairah dalam mengejar agenda tertentu sehingga mengorbankan perpaduan negara dan mengambil jalan pintas dengan mempolitikkan setiap aspek kehidupan kerana ini boleh membawa kepada kehancuran negara dan menyebabkan kita hilang apa kita ada sekarang," titah baginda.

Baginda turut memberi sumbangan kepada 150 orang terdiri dari fakir miskin, orang kurang upaya, ibu tunggal, anak-anak yatim, saudara-saudara baru dari masyarakat orang asli.

-- BERNAMA