Hal ehwal bukan Islam hanya tambahan bidang tugas exco - Aminuddin




Aminuddin Harun (tengah) beramah mesra dengan sebahagian pengunjung di Bazar Malam, Senawang ketika hadir pada pemeriksaan khas terhadap tapak-tapak Bazar Malam sepanjang bulan Ramadan di Dataran Senawang malam tadi.

SEREMBAN, 20 Mei (Bernama) -- Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun berkata tiada portfolio baharu bagi barisan exco kerajaan negeri, sebaliknya terdapat penambahan tugas baharu iaitu berkaitan hal ehwal bukan Islam.

Beliau berkata tugas baharu itu akan diberikan kepada seorang daripada exco yang dilantik kelak.

"Kita akan letakkan satu jawatan dalam portfolio tersebut ada hal ehwal bukan Islam yang tujuannya kita mahu pastikan bahawa masalah-masalah (berkaitan) itu dapat diselesaikan dan diurus dengan baik."

"Kita mahu melihat tugasan hal ehwal bukan Islam ini dapat menyelesaikan banyak perkara sebab negeri kita ini merupakan negeri yang majmuk. Jadi kita perlu ada perkara tersebut untuk mereka uruskan dengan baik," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak bazar Ramadan di Dataran Senawang di sini, malam tadi.

Turut hadir, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi Dr Mohamad Taufek Abd Ghani.

Barisan Exco Kerajaan Negeri Sembilan dijangka akan mengangkat sumpah pada Rabu ini di hadapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah.

Aminuddin sebelum ini dilapor berkata akan melantik 10 anggota exco dan akan ada sedikit perubahan portfolio berbanding sebelum ini.

Semalam, Pengerusi DAP Negeri Sembilan yang juga dinamakan sebagai Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dipetik sebagai berkata terdapat satu portfolio baharu dalam kerajaan negeri bagi mengekang isu yang dihadapi tokong, gereja dan kuil Hindu di negeri ini.

Loke yang juga ADUN Chennah dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP berkata beliau telah memberikan senarai nama calon exco kepada menteri besar.

"Biarlah menteri besar yang mengumumkan formasi kerajaan negeri," kata Loke yang juga Anggota Parlimen Seremban.

-- BERNAMA