Penyokong gesa Chuan Leekpai contohi kejayaan Dr Mahathir
Chuan Leekpai (Gambar fail)
Oleh Mohd Haikal Mohd Isa
BANGKOK, 20 Mei (Bernama) -- Kejayaan luar biasa Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuai pembangkang untuk mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) baru-baru ini memberi semangat kepada para penyokong bekas perdana menteri Thailand Chuan Leekpai untuk melihat pemimpin pujaan mereka itu melakar kejayaan serupa.
Teruja dengan peristiwa bersejarah yang berlaku di negara jiran itu, sekutu dan penyokong pemimpin berusia 79 tahun berkenaan, membuat desakan agar Chuan dipilih sebagai calon parti Demokrat untuk menjadi perdana menteri melalui pilihan raya umum negara ini pada Februari tahun depan.
Mereka mahu, Chuan, yang kini menjadi penasihat kepada parti terbesar di Thailand itu, mengikut langkah perdana menteri baharu Malaysia, Dr Mahathir, 92, untuk kembali ke arena politik bagi membantu mereka menamatkan pentadbiran kerajaan tentera di bawah pimpinan Perdana Menteri Jen Prayut Chan-o-cha yang kini berusia empat tahun.
"Saya percaya banyak orang akan menyokong beliau (Chuan), tapi setakat ini, Chuan membayangkan bahawa beliau tidak berminat. Bagaimanapun, perkara itu boleh berubah pada masa akan datang," kata pemimpin parti Demokrat Abhisit Vejaviva, yang pernah menjadi perdana menteri Thailand.
Bercakap kepada wartawan tempatan di sini baru-baru ini, beliau berkata Chuan, yang akan menyambut ulang tahun kelahirannya Julai ini, mendapat sokongan besar pengundi kerana kebanyakan rakyat menghormati dan mempercayai beliau.
Bagaimanapun, apabila ditanya wartawan sama ada beliau bersedia untuk mengikuti jejak Dr Mahathir itu dan menjadi calon Demokrat untuk jawatan perdana menteri, Chuan enggan memberi sebarang jawapan.
Dr Mahathir, yang pernah berkhidmat sebagai perdana menteri Malaysia keempat dari 1981 hingga 2003, mengetuai gabungan pembangkang dikenali sebagai Pakatan Harapan (PH) untuk mencapai kemenangan dan sekaligus mengakhiri pentadbiran Barisan Nasional (BN) pimpinan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang berkuasa selama enam dekad di Malaysia.
Beberapa hari selepas kemenangan itu, Dr Mahathir mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh.
Berikutan kekalahan tidak diduga itu, yang disifatkan pemerhati asing sebagai tidak ubah seperti "gempa politik, sembilan pada Skala Richter," Najib berundur sebagai presiden UMNO, parti yang menjadi tulang belakang gabungan itu.
Penganalisis politik Thailand memetik media tempatan sebagai berkata Chuan merupakan pilihan terbaik bagi tujuan 'berkompromi' antara parti Demokrat dan Pheu Thai untuk mengisi jawatan perdana menteri sekiranya dua parti politik gergasi itu bersatu untuk membentuk kerajaan gabungan melalui pilihan raya umum yang diadakan sebagai langkah menamatkan pemerintahan tentera di Thailand.
Menurut mereka, Pheu Thai yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Thaksin, tidak akan membiarkan Abhisit mengetuai kerajaan gabungan berikutan permusuhan yang wujud antara mereka dan ini menyebabkan Chuan dilihat sebagai calon yang lebih sesuai.
Banyak pemerhati menjangka Prayut akan kembali menjadi perdana menteri selepas pilihan raya umum diadakan.
Chuan pertama kali menjadi perdana menteri dari September 1992 hingga Mei 1995 dan menyandang jawatan itu sekali lagi dari November 1997 hingga Februari 2001.
Sementara itu, bekas pemimpin parti Demokrat Alongkorn Ponlaboot juga menyuarakan sokongannya terhadap cadangan agar Chuan kembali menjadi perdana menteri Thailand.
"Apabila Mahathir kembali menjadi perdana menteri pada usia 92 tahun, banyak orang memikirkan Chuan sebagai alternatif. Beliau adalah simbol kejujuran.
"Sekiranya parti Demokrat melakukan pembaharuan dan mempunyai visi baharu, ia juga boleh mewujudkan 'Fenomena Mahathir' di sini (Thailand)," katanya seperti yang dipetik oleh satu laporan.
Kali terakhir parti Demokrat memenangi pilihan raya umum ialah pada 1992 iaitu ketika ia dipimpin oleh Chuan.
-- BERNAMA