10 Exco Kedah angkat sumpah




ALOR SETAR, 22 Mei (Bernama) -- Seramai 10 Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dengan lapan daripadanya muka baharu, mengangkat sumpah jawatan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di hadapan Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah hari ini.

Barisan Exco yang terdiri daripada empat ADUN PKR, AMANAH (tiga), PPBM (dua) dan seorang DAP itu mengangkat sumpah dalam istiadat yang berlangsung di Balairung Seri Besar, Istana Anak Bukit di sini.

Lapan muka baharu itu ialah Halimaton Saadiah Saad (Bukit Kayu Hitam), Dr Salmee Said (Kota Siputeh), R Summugam (Bukit Selambau), Ooi Tze Min (Bakar Arang), Azman Nasrudin (Lunas) dan Mohd Asmirul Anuar Aris (Kubang Rotan).

Turut dilantik Zamri Yusuf (Suka Menanti) dan Tan Kok Yew (Derga).

Sementara itu, dua ADUN yang pernah berkhidmat sewaktu Kedah bawah pentadbiran PAS pada 2008 iaitu Datuk Amiruddin Hamzah (Anak Bukit) serta Datuk Dr Ismail Salleh (Pengkalan Kundor) juga dilantik.

Turut berangkat dalam majlis itu Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff serta Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin.

Berangkat sama Tunku Temenggong Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim serta Tunku Laksamana Kedah Datuk Tunku Shazuddin Arif Sultan Sallehuddin.

Turut hadir Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir baharu yang mengangkat sumpah memegang jawatan itu pada 11 Mei lepas di Balairung Seri Kecil di Istana Anak Bukit.

Difahamkan, kesemua Exco yang dilantik akan menghadiri mesyuarat pertama di Wisma Darul Aman, esok.

Berikut adalah senarai penuh Exco berserta portfolio mereka.

* Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir: Pengerusi Jawatankuasa Perancang Ekonomi Negeri, Perancang Negeri, Hal Ehwal Tanah, Hasil Bumi dan Sumber Asli dan Majlis Tindakan Negeri;

* Datuk Amiruddin Hamzah: Pengerusi Jawatankuasa Kewangan, Syarikat Milik Kerajaan Negeri, Industri dan Pelaburan dan Agama. Datuk Dr Ismail Salleh: Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Kesihatan dan Pembangunan Luar Bandar;

* Tan Kok Yew: Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan;

* Zamri Yusuf: Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi, Teknologi Maklumat, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga;

* Azman Nasruddin: Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Asas Tani, Pengangkutan dan Pembangunan Insan;

* Mohd Asmirul Anuar Aris: Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Pembangunan Usahawan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan;

* Ooi Tze Min: Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Alam Sekitar;

* Dr Salmee Said: Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Komunikasi dan Teknologi Tinggi dan Perdagangan Dalam Negeri;

* R Summugam: Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat India, Perpaduan, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi;

* Halimaton Saadiah Saad: Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat dan Pembasmian Kemiskinan.

-- BERNAMA