Berita Tergempar
PM ANWAR EXPRESSES CONDOLENCES TO THE FAMILY OF EGYPTIAN ISLAMIC MOVEMENT ACTIVIST YOUSSEF NADA WHO PASSED AWAY TODAY | 

Sepuluh ADUN Negeri Sembilan angkat sumpah jawatan Exco




KUALA PILAH, 23 Mei (Bernama) -- Sepuluh Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan mengangkat sumpah jawatan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri Sembilan hari ini.

Istiadat mengangkat sumpah dilakukan di hadapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti di sini.

Mereka yang mengangkat sumpah ialah lima daripada DAP, tiga daripada PKR dan dua daripada Parti Amanah Negara (Amanah).

ADUN DAP yang mengangkat sumpah ialah Teo Kok Seong (Bahau); J Arul Kumar (Nilai); Choo Ken Hwa (Lukut); S Veerapan (Repah) dan Nicole Tan Lee Koon (Bukit Kepayang).

ADUN PKR pula ialah Mohamad Nazarudin Sabtu (Pilah); Dr Mohamad Rafie Ab Malek (Ampangan) dan Ismail Ahmad (Labu).

ADUN Amanah ialah Mohamad Taufek Abd Ghani (Paroi) dan Bakri Sawir (Klawang).

Pada majlis itu, Tuanku Muhriz turut berkenan menyampaikan watikah pelantikan dan menyaksikan semua exco menandatangani sumpah jawatan.

Portfolio yang akan dipegang oleh ADUN-ADUN berkenaan dijangka diputuskan pada mesyuarat pertama exco yang akan dipengerusikan Menteri Besar Aminuddin Harun, petang ini.

Tuanku Muhriz dalam titah ucapannya pada majlis itu mengucapkan tahniah kepada semua ADUN yang dipilih menganggotai Exco.

"Pelantikan ini cabaran bagi kamu kerana selain menjadi ADUN di kawasan masing-masing, sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, kamu bertanggungjawab merangka dasar dan hala tuju Negeri Sembilan.

"Kamu hendaklah menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan jujur, adil dan profesional," titah baginda.

Tuanku Muhriz juga mengingatkan para Exco untuk tidak menyalahgunakan kuasa demi kepentingan peribadi, keluarga dan sahabat terutama dalam membuat keputusan melibatkan tender atau projek kerajaan.

Turut berangkat ke istiadat itu, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan kedua-dua anakanda, Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Datuk Seri Zain Al-'Abidin.

Hadir sama Undang Luak Rembau, Datuk Muhammad Sharip Othman; Undang Luak Johol, Datuk Mohammed Abdullah, Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Mubarak Dohak, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hassan serta beberapa anggota DUN dan Parlimen.

-- BERNAMA