Politik UMNO, BN tidak relevan dalam landskap politik baharu - Saifuddin




KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Politik yang diamalkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sejak lebih 70 tahun lamanya sudah tidak relevan di dalam landskap politik baharu kerana acuannya bersifat pengelasan kaum, kata Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan (PH) Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata konsep politik UMNO yang melaungkan pembelaan nasib bangsa terutamanya Melayu, tidak lagi mendapat tempat di hati masyarakat dan ia telah secara jelas dibuktikan menerusi keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lepas.

"Kekalahan teruk BN yang membawa kepada sejarah peralihan kuasa negara pada PRU14 itu merupakan indikator yang cukup terang menterjemahkan penolakan rakyat terhadap perjuangan politik perkauman.

"Dalam PRU14, daripada 222 kawasan Parlimen dipertandingkan, 83 daripadanya adalah kerusi yang bercampur etnik, 73 daripada 83 kerusi itu dimenangi oleh PH. Maknanya majoriti rakyat memilih untuk mengundi kerusi yang bersifat rentas kaum," katanya kepada Bernama selepas wawancara khas di Bernama Radio bertajuk Politik Baharu 2.0 Demokrasi Malaysia Berbilang Kaum.

Saifuddin berkata majoriti rakyat kini lebih terbuka mahukan pembaharuan di dalam kanvas politik majmuk yang lebih matang dan moderat sehingga telah berjaya menggunakan kuasa mereka untuk memilih kerajaan.

"Apa yang diinginkan rakyat ialah politik baharu seperti dibawa PH yang mengamalkan politik terbuka dan tidak menjurus mengutamakan kepentingan satu-satu kaum tertentu sahaja. Rakyat menolak amalan UMNO itu sehingga rakyat berani berdepan peralihan kerajaan.

"Ini satu keterbukaan dalam politik baharu PH di mana masyarakat percaya dengan bertukar kerajaan, kepimpinan negara akan menjadi lebih baik," katanya.

Saifuddin menguatkan situasi politik baharu negara sambil mengaitkan pandangan seorang sarjana pembangunan politik dunia Samuel Philips Huntington yang berpendapat sesebuah negara akan matang dan stabil demokrasinya setelah melalui pertukaran kerajaan sebanyak dua kali secara aman dan licin.

Anggota Parlimen Indera Mahkota daripada PKR itu berkata menerusi kepimpinan PH, politik negara akan dipacu berlandaskan empat elemen utama iaitu integriti, kerangka urus tadbir baharu, inovasi demokrasi matang dan pemikiran politik progresif sekali gus menamatkan era amalan politik perkauman kerajaan yang lepas.

"Ini tidak bermakna tiada pembelaan kepada mana-mana kaum di negara ini. Soal kaum tetap lebih penting, PH tetap menjunjung perlembangaan khususnya soal kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera, Majlis Raja-raja, Islam sebagai agama Persekutuan. Hanya model politik perkauman itu kita ubah, katanya.

-- BERNAMA