Jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang akan dihadkan dua penggal




Gambar fail

GEORGE TOWN, 23 Mei (Bernama) -- Undang-undang Tubuh Negeri Pulau Pinang akan dipinda bagi membolehkan cadangan mengehadkan tempoh perkhidmatan ketua menteri kepada dua penggal dilaksanakan, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Beliau berkata mesyuarat exco hari ini telah bersetuju untuk menunaikan janji Pakatan Harapan yang pertama iaitu mengehadkan tempoh perkhidmatan Ketua Menteri selepas mendapat majoriti dua pertiga.

Katanya majoriti dua pertiga yang diperoleh pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) telah memberi kuasa kepada kerajaan Pakatan Harapan untuk membuat pindaan perlembagaan dan penasihat undang-undang kerajaan negeri telah diminta untuk mengkaji perkara itu.

"Perkara itu harus dimasukkan di dalam Perlembagaan Negeri (Undang-undang Tubuh Negeri) supaya ia menjadi undang-undang tertinggi Pulau Pinang bagi tujuan mengehadkan tempoh perkhidmatan seseorang ketua menteri," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat exco yang pertama di sini hari ini.

Beliau berkata butiran mengenainya akan diteliti apabila penasihat undang-undang negeri siap membuat kajian berhubung maksud tempoh dua penggal dan bila akan berkuat kuasa.

"Exco-exco akan membincangkan dengan lebih teliti apabila penasihat undang-undang siap dengan kertas cadangan itu nanti dan kami juga ingin menjemput badan bukan kerajaan untuk memberi maklum balas mereka," katanya.

Beliau berkata perkara itu dijangka dibentang pada Persidangan Dewan Undangan Negeri, November ini.

Sementara itu, Chow yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota berkata semua exco kerajaan negeri telah diminta untuk melaksanakan 68 Janji Pakatan Harapan dalam manifesto PRU14.

"Kami menganggap manifesto itu adalah satu janji dan komitmen kerajaan PH kepada pengundi dan kami akan berikhtiar untuk menunaikan kesemuanya dalam tempoh lima tahun," katanya.

Terdahulu, Chow mengumumkan pelantikan ADUN Komtar Teh Lai Heng sebagai Setiausaha Politik Ketua Menteri berkuat kuasa hari ini.

-- BERNAMA