PH Perak ubah senarai 10 portfolio Exco




IPOH, 23 Mei (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) negeri Perak melakukan beberapa perubahan dan pindaan bagi senarai 10 portfolio Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang diumumkan hari ini sebagai usaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang ketika mengumumkan perkara itu berkata beliau sendiri akan memegang portfolio sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kewangan, Keselamatan, Tanah, Badan Berkanun (GLC), Sumber Asli dan Perancangan Ekonomi.

Sementara itu, bekas Menteri Besar Datuk Seri Nizar Jamaluddin yang juga ADUN Sungai Rapat dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Pembangunan Koridor manakala ADUN Manjoi Asmun Awi memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan.

ADUN Tronoh Yong Choo Kiong pula dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu manakala ADUN Kuala Kurau Abdul Yunus Jamhari memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan.

Ahmad Faizal turut mengumumkan ADUN Tebing Tinggi Dr Abdul Aziz Bari memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Penerangan sementara ADUN Sungkai A. Sivanesan dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Sivil, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia.

Wong May Ing iaitu ADUN Pantai Remis pula dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, sementara ADUN Simpang Pulai Tan Kar Hing memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.

Sementara itu, ADUN Titi Serong Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim sebagai Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi, manakala Lee Chuan How (Pasir Pinji) dilantik Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan.

"Semua barisan Exco yang diumumkan hari ini akan bekerja sebagai satu pasukan selain memfokuskan tawaran dan janji PH yang telah dibuat dapat dipenuhi agar rakyat dapat merasai," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco yang pertama selepas Pilihan Raya Umum ke-14 di sini.

Pada PRU14, PH Perak memenangi 29 kerusi DUN, namun berjaya membentuk kerajaan negeri selepas mendapat majoriti mudah 31 kerusi setelah dua ADUN Barisan Nasional menyokong pakatan itu yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan DAP.

Sementara itu, Mohammad Nizar ketika ditemui berkata beliau tidak kekok menyandang tugas Exco Pelaburan dan Pembangunan Koridor.

"Ini kerana pembahagian tugas itu dilakukan mengambil kira kepakaran, bidang diminati selain kebolehan dan pengalaman masing-masing," katanya.

Kesemua 10 Exco berkenaan telah mengangkat sumpah jawatan pada 19 Mei lepas, manakala Ahmad Faizal yang juga Pengerusi PPBM Perak mengangkat sumpah pada 12 Mei.

-- BERNAMA