Portfolio 10 Exco Kerajaan Negeri Sembilan ditentukan esok - MB





SEREMBAN, 23 Mei (Bernama) -- Portfolio kesemua 10 Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mengangkat sumpah jawatan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan di hadapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pagi tadi, akan diumumkan esok.

Menteri Besar Aminuddin Harun berkata kesemua portfolio itu akan dimuktamadkan selepas mesyuarat exco di Wisma Negeri, yang pertama selepas Pakatan Harapan (PH) membentuk Kerajaan Negeri.

"Hari ini kita tak umumkan lagi portfolio. Esok selepas mesyuarat exco kita akan umum senarai penuh portfolio-portfolio yang terlibat dan di samping itu juga, semua exco akan masuk pejabat masing-masing untuk memulakan kerja.

"Saya berharap kesemua mereka yang terpilih bekerja bersungguh-sungguh sebagai satu pasukan untuk memastikan negeri ini dapat dibangunkan dan mencapai cita-cita seperti yang diharapkan masyarakat seluruhnya," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Aminuddin berkata tiada portfolio baharu diwujudkan bagi barisan Exco Kerajaan Negeri, sebaliknya terdapat penambahan tugas baharu iaitu berkaitan hal ehwal agama bukan Islam.

"Jadi kita akan jadikan ia sebagai tambahan dalam tugasan exco itu, exco tiada tambahan, tugasan sahaja bertambah," katanya.

Ditanya mengenai formasi 5-3-2 iaitu komposisi ADUN yang mewakili DAP, PKR dan Amanah dalam barisan Exco Kerajaan Negeri, Aminuddin yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan berkata ia hanya diputuskan selepas keputusan sebenar Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei lepas dikeluarkan.

"Kita membincangkan pelantikan exco ini selepas keputusan PRU dikeluarkan apabila telah kita ketahui dan berbincang secara muafakat dan Alhamdulillah, 5-3-2 saya rasa adalah adunan terbaik dan saya rasakan ini adalah baik dan adil kepada semua," katanya.

Aminuddin yang juga Pengerusi PKR Negeri Sembilan dan ADUN Sikamat berkata bagaimanapun ADUN yang dipilih sebagai exco kerajaan negeri boleh dikaji semula prestasi mereka.

Beliau bagaimanapun berkata kesemua ADUN yang dipilih menjadi exco adalah terdiri daripada mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing.

Ditanya mengenai pengisytiharan harta, Menteri Besar berkata ia merupakan janji yang tertulis dalam manifesto PH Negeri Sembilan dan perlu dikotakan oleh kesemua wakil rakyat PH di negeri ini.

"Mereka kena isytiharkan harta mereka bukan sahaja kepada saya tetapi kepada seluruh penduduk di Negeri Sembilan sebab ia janji dalam ceramah, kempen sebelum pilihan raya. Jadi untuk menunaikan hasrat pengundi, mereka kena berlaku jujur dan saya harap tak ada masalah," katanya.

Mengenai jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Aminuddin berkata ia akan diputuskan kemudian.

"Bagi jawatan Timbalan Speaker pula, kita belum bincang lagi dan kemungkinan ada. Kali ini kita ingin melihat ada 'reform' dalam sidang DUN untuk beri ruang secukupnya kepada ahli dewan untuk bercakap dan menyampaikan hasrat. Jika dewan bersidang lama, mungkin kita perlukan seorang timbalan speaker.

"Itu akan saya bincangkan dengan exco-exco lain dan juga pentadbir tentang daripada segi undang-undang boleh tak kita lantik Timbalan Speaker. Jadi ini akan kita kaji dulu. Kalau amalan terbaiknya, kita perlukan Speaker dan Timbalan Speaker kerana kita nak memberi ruang demokrasi dalam Dewan kali ini supaya dapat dilaksanakan seperti yang kita harapkan dalam persidangan-persidangan Dewan yang dahulu di mana masa itu terhad," katanya.

-- BERNAMA