Saya tabik anda. anda telah selamatkan negara, hartawan Robert Kuok beritahu Mahathir




KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Hartawan Robert Kuok memuji Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana telah menyelamatkan negara.

"Saya tabik anda. Anda telah menyelamatkan negara," kata hartawan yang berpusat di Hong Kong itu ketika mengunjungi Dr Mahathir di pejabatnya di Putrajaya hari ini.

Dr Mahathir kemudian menepuk perlahan bahu Kuok lalu menjawab sambil tersenyum: "Kami memerlukan bantuan anda sekarang.''

Klip video serta beberapa keping gambar pertemuan itu dimuatnaik dalam akaun Twitter dan Facebook Perdana Menteri.

Kuok ialah seorang daripada anggota Majlis Penasihat Kerajaan yang dilantik oleh Dr Mahathir pada 12 Mei apabila beliau mengumumkan penubuhannya.

Kuok, 94, menghadiri mesyuarat pertama Majlis Penasihat Kerajaan semalam. Tugasnya ialah untuk menasihatkan kerajaan menghenai hal ehwal ekonomi dan kewangan.

Dalam ucapannya selepas mesyuarat, beliau menyeru rakyat Malaysia untuk meletakkan kepercayaan kepada Majlis Penasihat Kerajaan yang turut dianggotai oleh bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin, bekas gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas presiden dan ketua pegawai eksekutif Petronas Tan Sri Hassan Marican dan pakar ekonomi Prof Jomo Kwame Sundaram.

Dr Mahathir kembali menerajui kerajaan selepas mengangat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh berikutan kemenangan Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei, menjadikannya Perdana Menteri tertua di dunia.

Dr Mahathir ialah pengerusi Pakatan Harapan.

Beliau merupakan perdana menteri Malaysia yang keempat dari 1981 hingga 2003.

-- BERNAMA