UMNO Perlis cadang Azlan Man dipecat - Shahidan Kassim





KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- UMNO Perlis mencadangkan kepada kedua-dua pucuk pimpinan UMNO iaitu presiden dan timbalannya agar memecat Datuk Seri Azlan Man sebagai anggota UMNO, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Shahidan yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perlis berkata beliau dan sembilan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada BN telah bertemu Naib Presiden UMNO yang menjalankan Tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden UMNO yang turut menjalankan Tugas-tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, memohon agar Azlan dipecat daripada parti serta-merta.

"BN telah memenangi 10 daripada 15 kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lepas maka dengan itu BN Perlis telah sebulat suara memilih ADUN Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu.

"Azlan tidak seharusnya menerima pelantikan sebagai menteri besar apabila beliau tidak menerima sokongan majoriti ADUN Perlis,'' katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ismail merupakan adik kandung Shahidan.

Sehubungan itu, Shahidan berkata beliau merayu kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, agar tidak campur tangan dalam pelantikan menteri besar dan meminta Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyelesaikan isu tersebut.

"Sembilan ADUN BN Perlis menolak pelantikan Azlan sebagai Menteri Besar...itu sebabnya mereka (ADUN BN) tidak hadir pada majlis mengangkat sumpah hari ini," katanya.

Shahidan berkata kesemua sembilan ADUN yang membantah pelantikan Azlan sebagai menteri besar hadir pada mesyuarat dengan Ahmad Zahid dan Hishammuddin di íbu pejabat UMNO di Menara Dato Onn yang berlangsung kira-kira dua jam, hari ini.

Pagi ini, Azlan mengangkat sumpah sebagai menteri besar bagi penggal kedua di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau, Perlis, hari ini.

Bagaimanapun, sembilan ADUN BN tidak menghadiri upacara angkat sumpah jawatan itu, manakala yang hadir ialah tiga ADUN daripada Pakatan Harapan (PH), dua ADUN daripada PAS dan seorang Anggota Parlimen BN, Noor Amin.

Pada PRU14 lalu, BN menang 10 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Pakatan Harapan (PH) tiga kerusi dan PAS dua kerusi.

-- BERNAMA