ADUN Perlis perlu buktikan bantahan melalui undi tidak percaya terhadap Azlan - pakar




Oleh Ismail Amsyar Mohd Said

KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Rumah siap, pahat masih berbunyi.

Itulah ungkapan paling sesuai bagi menggambarkan kemelut pelantikan Menteri Besar Perlis yang berlarutan selama 15 hari setelah Barisan Nasional (BN) diberikan mandat oleh rakyat untuk membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lepas.

Hari ini Datuk Seri Azlan Man mengangkat sumpah jawatan sebagai menteri besar di hadapan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, namun BN Perlis membuat bantahan keras terhadap pelantikannya dan mendakwa Azlan tidak mendapat sokongan majoriti.

Perkara ini dizahirkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis Datuk Seri Dr Shahidan Kassim pada sidang akhbar di sini, yang diadakan beberapa jam selepas majlis mengangkat sumpah di Istana Arau pada pukul 11.10 pagi.

Pakar Perlembagaan Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz ketika dihubungi Bernama berkata pelantikan Azlan sah di sisi undang-undang kerana Raja Perlis telah beri perkenan untuk melantik beliau sebagai menteri besar dan beliau telahpun mengangkat sumpah.

"Pelantikan (menteri besar) adalah hak Raja dan Tuanku dah buat keputusan untuk perkenan lantikan Azlan. Sekiranya ada yang tidak bersetuju, mereka perlu buktikan Azlan tidak ada sokongan melalui undi tidak percaya," katanya.

Dr Shamrahayu berkata tempoh yang terlalu lama diambil oleh BN negeri untuk menentukan siapa yang akan menyandang jawatan menteri besar menunjukkan seolah-olah mereka (BN) tidak boleh membuat keputusan.

Keadaan ini, menurutnya menyebabkan Raja akhirnya melantik individu yang pada hemat baginda layak untuk memerintah negeri Indera Kayangan itu.

Perkara 39 (4) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis berkaitan Majlis Mesyuarat Kerajaan menyebut: "Pada masa melantik seorang menteri besar maka Raja boleh dengan suka hatinya sendiri meninggalkan apa-apa syarat dalam Undang-Undang Tubuh ini yang mengehadkan haknya memilih seseorang menteri besar, jika pada pendapatnya mustahak berbuat demikian untuk memenuhi syarat-syarat dalam Perkara ini."

Azlan, 60, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong, dilantik sebagai Menteri Besar Perlis bagi penggal kedua selepas BN berjaya mempertahankan negeri itu pada PRU14 dengan menguasai 10 daripada 15 kerusi DUN, manakala parti Pakatan Harapan tiga kerusi dan parti PAS dua kerusi.

Mengulas perkara yang sama, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata situasi yang berlaku sekarang menunjukkan Azlan telah hilang sokongan majoriti dan perkara itu perlu dibuktikan.

Beliau yang merupakan Profesor Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa berkata bantahan itu boleh dibuktikan melalui undi tidak percaya sama ada di dalam dewan ataupun di luar dewan.

"Cara yang terbaik ialah mereka (yang tidak sokong) pergi menghadap Raja dan nyatakan bantahan terhadap lantikan Azlan sebagai menteri besar dan Raja kemudiannya akan minta menteri besar yang dilantik meletakkan jawatan.

"Menteri besar pada masa yang sama juga boleh menasihati Raja untuk membubarkan DUN. Terpulang kepada Raja untuk menerima atau tidak nasihat yang diberikan," katanya.

Bagaimanapun menurut Dr Nik Ahmad Kamal sekiranya bilangan yang menghadap Raja untuk menyatakan bantahan tidak mencapai majoriti mudah, maka menteri besar yang dilantik akan menjalankan tugas-tugasnya seperti biasa.

-- BERNAMA