Keupayaan kerajaan bayar hutang 1MDB akan beri jaminan kepada pasaran
Lim Guan Eng (gambar fail Bernama)
PUTRAJAYA, 25 Mei (Bernama) -- Menteri Kewangan Lim Guan Eng yakin mengenai keupayaan kerajaan untuk menghormati kewajipannya membayar hutang berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), sekali gus memberi isyarat positif kepada pasaran kewangan.
Beliau berkata kerajaan masih mempunyai dana untuk membayar obligasi hutang syarikat pelaburan negara itu, dan kerajaan sekarang komited untuk menyelesaikan masalah berkenaan.
"Kami akan menghormati kewajipan antarabangsa, dan ini akan meyakinkan pasaran bahawa kerajaan menyedari tindakan yang sedang dilakukannya, dan kerajaan juga mesra pasaran dan mematuhi norma kewangan antarabangsa," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat bulanan Kementerian Kewangan (MoF) pertamanya selepas dilantik sebagai Menteri Kewangan, di sini hari ini.
Lim berkata asas ekonomi Malaysia kukuh, kerajaan baharu akan berusaha untuk menjadikan kedudukan fiskal negara lebih mampan.
"Dalam sektor kewangan, sebagai contoh, asasnya masih kukuh dan bank juga stabil disebabkan mereka (mempunyai) permodalan yang tinggi, dan pinjaman tidak berbayar yang rendah ... kecairan dalam dana atau pasaran modal juga tinggi," katanya.
Mengenai tindak balas kejutan pasaran saham terhadap ketelusan kerajaan mengenai kedudukan kewangan negara, Lim berkata pendedahan itu mungkin atau mungkin tidak menjadi penyebab kerugian di Bursa Malaysia.
"Sama ada ini punca, terpulang kepada pasaran untuk menentukan, namun bukan hanya pasaran saham Malaysia yang jatuh. Anda melihat Thailand, Amerika Syarikat dan negara-negara lain, terdapat pasaran saham lain yang jatuh. terdapat faktor antarabangsa yang lain.
"Biar broker saham atau penganalisis melihat sama ada ia hanya membabitkan Malaysia atau di rantau atau di seluruh dunia. Namun sudah pasti akan terus berfikiran terbuka dan mengambil semua pandangan dan menerima kritikani," katanya.
Bursa Malaysia meneruskan kerugiannya semalam, dengan penganalisis mengaitkannya dengan hutang negara dan isu-isu yang berlaku mengenai 1MDB sebagai punca kebimbangan dalam kalangan pelabur.
-- BERNAMA