Masa untuk bekerja, tiada lagi drama - Azlan
KANGAR, 25 Mei (Bernama) -- Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man hari ini memulakan tugas di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, walaupun berhadapan dengan krisis setelah pelantikannya sebagai menteri besar tidak dipersetujui wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang lain.
Beliau tiba di pejabatnya pada 10.10 pagi dan hanya memberi peluang seketika kepada pemberita untuk merakamkan gambarnya dan enggan membuat sebarang kenyataan mengenai kemelut yang melanda dirinya.
"Masa untuk mulakan kerja, tiada lagi drama. Ada perkara pentadbiran yang perlu diselesaikan, kerja lebih, cakap kurang," katanya ringkas.
Semalam, Azlan, 60, yang merupakan ADUN Bintong, dilantik sebagai menteri besar Perlis bagi penggal kedua selepas BN menang pada Pilihanraya Raya Umum ke-14 di negeri itu, 9 Mei lepas dengan menguasai 10 daripada 15 kerusi DUN, manakala parti Pakatan Harapan tiga kerusi dan PAS dua kerusi.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim semalam mengumumkan cadangan memecat Azlan kerana didakwa tidak mendapat sokongan majoriti setelah sembilan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Perlis menolak pelantikan itu.
-- BERNAMA