Shahidan tidak hormat institusi diraja - PAS Perlis





KANGAR, 25 Mei (Bernama) -- PAS Perlis membidas keangkuhan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Datuk Seri Shahidan Kassim dan menyifatkan tindakan beliau sebagai tidak menghormati institusi diraja.

Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata sikap Shahidan jelas membuktikan bahawa Anggota Parlimen Arau itu membelakangi keputusan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dalam isu lantikan Menteri Besar Perlis.

"Dalam mencari penyelesaian yang tepat dan adil kepada kemelut yang berlaku, PAS Perlis berharap semua pihak supaya tidak melatah atau bersikap terburu-buru dan beri kepercayaan kepada Tuanku Raja Perlis.

"PAS Perlis percaya bahawa kemelut ini boleh diselesaikan dengan baik, namun, jika Shahidan tetap dengan keputusannya, maka PAS Perlis bersedia dengan sebarang kemungkinan termasuk berlakunya Pilihan Raya Negeri," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya PAS sentiasa menghormati amalan sistem beraja yang diamalkan di negara ini dan berdiri teguh bersama Tuanku Raja Perlis yang sentiasa mengutamakan rakyat dan negeri dalam keputusan baginda.

Semalam, Shahidan mengumumkan cadangan memecat Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man kerana mendakwa beliau tidak mendapat sokongan majoriti setelah sembilan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Perlis menolak pelantikan itu.

Pengumuman itu dibuat dalam sidang media khas di Kuala Lumpur, sejurus selepas majlis pelantikan dan angkat sumpah menteri besar dilakukan di Istana Arau pagi semalam.

-- BERNAMA