Kerajaan negeri yakin Pan Borneo Sabah diteruskan - Mohd Shafie
Datuk Seri Mohd Shafie Apdal diiringi oleh Pemangku Pengarah Penyiaran Sabah Malinaziah Datu Mohd Julaspi (kiri) ketika melakukan lawatan ke Bazar Ramadan RTM sempena program Jelajah Ramadan RTM 2018 Jabatan Penyiaran Malaysia di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi dan Multimedia hari ini.
KOTA KINABALU, 25 Mei (Bernama) -- Kerajaan negeri yakin pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di Sabah akan diteruskan meskipun ia menjadi antara projek mega yang akan disemak semula oleh kerajaan persekutuan berikutan kekangan kewangan dihadapi negara ketika ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata pembinaan Lebuhraya Pan Borneo, yang sedang dilaksanakan ketika ini, akan diteruskan kerana projek berkenaan dilihat berupaya memberi manfaat kepada rakyat Sabah secara keseluruhannya.
"Saya yakin projek ini akan diteruskan, cuma mungkin oleh kerana masalah kewangan terbatas pada saat ini, sehingga gaji menteri (di peringkat persekutuan) pun dipotong. Jadi, bayangkan... banyak kekangan (kewangan)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Ramadan RTM di sini hari ini.
Turut hadir Anggota Parlimen Sepanggar Datuk Aziz Jamman dan Pemangku Pengarah Penyiaran Sabah Malinaziah Datu Mohd Julaspi.
Mohd Shafie berkata kerajaan negeri sekarang turut menghadapi banyak kekangan termasuk masalah hutang yang ramai tidak tahu mengenainya.
"Nanti saya akan perincikan berapa hutang Yayasan Sabah dan berapa hutang kerajaan negeri yang perlu dibayar," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata, kerajaan negeri akan turut mengambil beberapa langkah termasuk menghentikan pengeksportan balak buat sementara waktu dan menyusun atur semula peranan Yayasan Sabah supaya lebih menjurus kepada kepentingan rakyat.
-- BERNAMA