Jamal hilang mungkin disebabkan masalah komunikasi - peguam




Datuk Seri Jamal Md Yunus (Gambar fail Bernama)

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Isu Datuk Seri Jamal Md Yunus yang dilaporkan menghilangkan diri selepas didakwa di Hospital Pakar Ampang Puteri di sini semalam berlaku disebabkan masalah komunikasi, kata peguamnya Datuk Mohd Imran Tamrin.

Mohd Imran berkata ia merupakan pengalaman pertama Jamal dalam menghadapi prosedur pertuduhan di luar mahkamah dan beliau percaya berlaku kesilapan tanpa niat untuk lari dari tahanan.

Prosiding pendakwaan Jamal, 48, yang dituduh melakukan mudarat awam dengan memecahkan botol arak menggunakan penukul besi di hadapan pintu pagar keluar Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di Shah Alam, Selangor tahun lepas, dijalankan di Hospital Pakar Ampang Puteri kerana beliau sedang dirawat di

hospital itu bagi masalah sakit belakang.

"Saya percaya mungkin berlaku sedikit 'miscommunication' dan anak guam kami beranggapan proses ikat jamin tersebut telah sempurna.

"Saya khuatir beliau dalam keadaan trauma atau tekanan kerana situasi dan keadaan ini adalah sesuatu yang baharu untuk beliau," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Imran berkata pihak beliau telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya pada 5 petang semalam dan berusaha selama hampir 10 jam untuk membantu polis mengesan Jamal bagi melengkapkan proses berkenaan namun gagal.

Sehubungan itu beliau meminta Jamal menghubungi pihak peguam atau hadir ke IPD Ampang Jaya bagi menyempurnakan proses ikat jamin tersebut.

"Saya percaya pihak polis akan memberikan kerjasama dan bantuan yang sewajarnya tanpa perlu ada sebarang tangkapan," katanya yang turut memohon maaf kepada semua pihak yang terlibat terutamanya polis, mahkamah dan hospital.

Kehilangan Jamal dikatakan disedari oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang menguruskan proses ikat jamin beliau kira-kira 5.30 petang.

-- BERNAMA