Gobind sedang teliti kejadian libatkan sistem komunikasi menjelang PRU14





KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Beberapa kejadian seperti serangan BOT terhadap telefon bimbit semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 9 Mei lepas serta laporan tentang arahan tertentu yang didakwa dikeluarkan bagi melakukan sekatan terhadap portal dalam talian pada malam hari mengundi, menarik perhatian Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Turut menjadi perhatian beliau ialah pencerobohan terhadap data peribadi yang dilapor menjejaskan berpuluh juta pelanggan telefon bimbit.

"Saya telah meminta laporan tentang beberapa insiden itu daripada kementerian saya," kata Gobind dalam catatan melalui Facebook dan Twitternya.

Beliau berkata ia termasuk aduan berkaitan panggilan spam daripada nombor tidak dikenali kepada telefon ahli politik daripada kedua-dua pihak pada hari mengundi, yang dikatakan telah menghalang mereka untuk berkomunikasi dengan jentera pilihan raya masing-masing.

Menurut Gobind, beliau akan mengkaji semula peruntukan tertentu di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta memberi pertimbangan terhadap cadangan agar peruntukan berkenaan dipinda.

"Saya sedia menerima cadangan daripada semua pihak tentang perkara ini dan saya akan menghubungi En Eric Paulsen dari Lawyers for Liberty dan Majlis Peguam untuk berbincang mengenainya," kata beliau.

Menurut laporan, Lawyers for Liberty meminta menteri berkenaan menyiasat salah laku yang didakwa dilakukan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan memastikan suruhanjaya itu bertanggungjawab terhadap perbuatan tersebut.

-- BERNAMA