Projek Sakit: MB Terengganu lawat taman ilmu di Besut minggu depan




KUALA NERUS, 27 Mei (Bernama) -- Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata beliau akan meninjau keadaan Taman Ilmu di Tembila, Besut, minggu depan, untuk membuat penilaian terkini dan mencari kaedah penyelesaian sesuai untuk manfaat rakyat.

Beliau berkata fokus kerajaan negeri ketika ini bukan sekadar untuk menyelamatkan projek yang dikategorikan gagal atau bermasalah semata-mata sebaliknya manfaat hasil projek itu perlu dinikmati rakyat terutama di kawasan sekitar.

"Komitmen kerajaan kali ini untuk menukar kegagalan kepada kejayaan, langkah pertama yang saya akan buat ialah pergi ke Taman Ilmu pada minggu depan bersama pihak berkaitan."

"Ia akan disusuli dengan lawatan ke projek-projek lain yang belum siap atau bermasalah...kita akan lihat satu persatu dan cuba cari jalan penyelesaian tanpa bebankan kerajaan negeri namun pada masa sama, ia akan beri limpahan ekonomi kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan hari raya oleh syarikat pengawal keselamatan, Muaz Force Sdn Bhd kepada 278 kakitangan mereka termasuk anak yatim, ibu tunggal dan bapa tunggal di sini hari ini.

Selain Taman Ilmu, PAS Terengganu sebelum ini sering mengkritik pentadbiran kerajaan negeri terdahulu (Barisan Nasional) yang didakwa gagal dalam melaksanakan projek-projek mega seperti Pulau Bebas Cukai di Tasik Kenyir, Zoo Mini Kemaman dan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak.

Ditanya kenyataan terbaru Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah yang sedia bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk sama-sama 'membina semula Terengganu' termasuk menyelamatkan projek-projek sakit ini, beliau berkata pihaknya terbuka untuk menerima sebarang cadangan daripada sesiapa sahaja.

"Kerajaan negeri sangat mengalu-alukan sebarang cadangan daripada mana-mana pihak termasuk rakyat sendiri sekiranya ada cadangan yang mereka rasa boleh dilaksanakan untuk menukar ganti daripada keadaan gagal sekarang kepada yang lebih baik, kita boleh bincang dan terima pandangan itu," katanya.

-- BERNAMA