ADUN Beseri akur Raja Perlis lantik Azlan Man sebagai MB
KANGAR, 27 Mei (Bernama) -- Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri, Ruzaini Rais, akur dengan keputusan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail melantik ADUN Bintong, Datuk Seri Azlan Man, sebagai menteri besar negeri ini.
Ruzaini, seorang daripada ADUN Barisan Nasional (BN) yang tidak hadir pada Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah Menteri Besar di Istana Arau pada Khamis lepas, bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.
Namun, katanya, kemelut itu akan berakhir dalam masa terdekat.
"Saya tak mahu komen lagi... dalam bulan puasa ni, sesuailah minta ampun dan maaf. Kesetiaan kita kepada Raja (Perlis) tidak berbelah bahagi," katanya ringkas ketika ditemui pemberita di Beseri dekat sini, hari ini.
Beliau juga menolak kemungkinan berlakunya pilihan raya negeri kerana BN memperoleh majoriti besar di Perlis iaitu 10 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pada Khamis, seramai sembilan ADUN BN tidak hadir pada istiadat itu sebaliknya tiga ADUN Pakatan Harapan dan dua ADUN PAS menghadirinya.
Ketidakhadiran kesemua ADUN BN itu telah membangkitkan kemurkaan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.
-- BERNAMA