PH Terengganu minta SPRM siasat projek taman ilmu




KUALA TERENGGANU, 27 Mei (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) Terengganu hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung projek Taman Ilmu di Tembila, Besut.

Pengerusinya Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata laporan itu bertujuan meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci ekoran beberapa spekulasi melibatkan kos awal projek sebanyak RM320 juta di tanah seluas 280 hektar itu.

Beliau mendakwa projek itu terbengkalai dengan 97 peratus daripada bangunannya rosak akibat vandalisme dan kecurian.

Menurutnya SPRM perlu menyiasat kepincangan yang berlaku kerana berdasarkan tinjauannya ke kawasan itu pada 15 Feb lepas, beliau mendapati masih banyak yang belum dibaiki meskipun kerajaan Barisan Nasional sebelum ini memberitahu bahawa kerja-kerja pembaikan telah dilakukan.

"PH meminta SPRM bertindak segera untuk menyiasat sekiranya ada penyalahgunaan wang dan kuasa oleh kerajaan terdahulu kerana ia satu bentuk pengkhianatan yang merugikan rakyat dan negeri," katanya.

Taman Ilmu, yang dibangunkan dalam projek pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) sejak 2004, disasarkan sebagai projek perkongsian kemudahan pendidikan asas yang mampu menampung enam institusi pengajian tinggi (IPT).

Sehingga kini, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mengguna pakai kemudahan dua blok di Taman Ilmu sejak September tahun lepas manakala Universiti P. Ramlee dijangka beroperasi pada September depan.

-- BERNAMA