Pemuda PPBM gesa pemimpin PH Kelantan dilantik menteri, timbalan menteri




KOTA BHARU, 27 Mei (Bernama) -- Pergerakan Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Kelantan menggesa kerajaan persekutuan memberi jawatan menteri atau timbalan menteri dari negeri itu menerusi kuota sebagai senator.

Ketuanya, Asran Alias berkata pihaknya mencadangkan beberapa nama iaitu Penasihat Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Husam Musa, Pengerusi PKR Kelantan, Ab Aziz Kadir serta Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan PPBM Kelantan, Datuk Sazmi Miah untuk dilantik sebagai senator.

"Selain itu, nama-nama lain seperti Dr Mohd Radzi Mohd Jidin, Hisham Fauzi serta Roslan Puteh antara nama yang boleh diangkat menjawat jawatan senator dan nama-nama ini mewakili tiga parti utama dalam Pakatan Harapan (PH)," katanya pada majlis berbuka puasa bersama pemberita di sini, hari ini.

Untuk rekod, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, PH gagal memenangi sebarang kerusi Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan.

Mengulas lanjut, Asran berkata pihaknya akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengucapkan tahniah berikutan pelantikannya sebagai perdana menteri.

Beliau berkata antara perkara yang akan dibincangkan termasuk royalti petroleum serta isu berkaitan pembangunan luar bandar di negeri berkenaan.

-- BERNAMA