Gobind janji eratkan kerjasama dengan media




KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berjanji akan bekerjasama erat dengan pihak media ke arah mewujudkan masyarakat yang lebih bermaklumat.

Ketika berucap kepada para petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sempena lawatan sulung beliau ke agensi berita itu hari ini, Gobind berkata beliau sentiasa bersikap terbuka dan sesiapa juga boleh menghubunginya secara peribadi menerusi telefon bimbitnya.

"Saya berdiri di sini sebagai menteri anda dan saya mahu anda semua bersikap terbuka dengan saya. Beritahu saya bagaimanapun kita dapat melakukan perbaikan dan bagaimana keadaannya kini.

"Kita boleh bebaskan diri kita daripada belenggu masa lalu dan mara ke arah pemberitaan yang lebih gemilang," kata beliau.

Turut hadir ialah Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datuk Zulkefli Salleh dan Ketua Pengarang Datuk Zakaria Abdul Wahab.

Terdahulu, sebelum ke Bernama, Gobind melawat RTM dan Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR).

Gobind berkata beliau maklum akan tugas besarnya untuk mentransformasi RTM tetapi beliau juga akan memberikan layanan serupa kepada semua agensi media tempatan.

"Saya akan berbincang dengan setiap agensi media jika boleh dan bersemuka dengan mereka, itu pendekatan yang saya akan ambil," katanya.

Gobind juga menegaskan bahawa kebebasan media di Malaysia perlu dikaji semula dan itulah antara janji kerajaan pimpinan Pakatan Harapan iaitu memastikan kewujudan kebebasan media.

"Saya setuju bila ada kerajaan, fungsi pemberita bawa maklumat daripada kerajaan kepada rakyat tetapi bagaimana bila ada keadaan di mana perlu ada kritikan kepada kerajaan of the day? (kerajaan yang memerintah)," kata beliau.

Beliau juga menyokong kenyataan Ketua Umum Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu bahawa media perlu menjadi suara rakyat tetapi perlu tetap dengan peranannya sebagai penyemak dan penyeimbang kepada kerajaan yang memerintah.

-- BERNAMA