Dr M dakwa wujud unsur penipuan dalam PRU14





PETALING JAYA, 28 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mendakwa terdapat unsur penipuan sewaktu pengiraan undi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sehinggakan ada calon-calon Pakatan Harapan (PH) tewas dengan jumlah undi rosak yang tidak masuk akal dan mengejutkan.

Pengerusi Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berkata keputusan itu sekali gus menyebabkan gabungan parti-parti dalam pakatan itu tidak mendapat keputusan yang baik walaupun berjaya memenangi PRU14, 9 Mei lepas.

"Ada calon yang sudah menang, tiba-tiba datang peti undi lain yang menyebabkan kita kalah. Ada juga kes di mana undi rosak mencecah 700 hingga 800 undi. Takkanlah orang Malaysia ini bodoh sangat.

"Berapa banyak kerusi yang hilang? Kami masih mengira...agak banyak, saya tidak dapat mengatakan beberapa jumlah. Bukan sahaja parti (PPBM) tetapi parti lain juga," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu di ibu pejabat parti di Menara Yayasan Selangor, di sini hari ini.

Ditanya jika kerajaan akan membuat perubahan termasuk menukar Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berikutan unsur penipuan tersebut , Dr Mahathir berkata: "Bagi parti berkenaan, kami akan membangkitkan kes-kes ini, bergantung kepada penemuan...jika kita mempunyai alasan atau tidak, apa jua tindakan yang perlu akan diambil."

"Saya difahamkan beliau (Pengerusi SPR), mahu meletak jawatan tetapi jika ia berbuat demikian dan jika ada apa-apa terhadapnya, tindakan akan diambil mengikut undang-undang negara," katanya.

Mengenai mesyuarat tersebut, Dr Mahathir berkata kebanyakan perbincangan tertumpu kepada masalah-masalah yang wujud selepas PRU14 selain permintaan ribuan anggota UMNO untuk menyertai PPBM ketika ini.

Beliau berkata pihaknya akan menentukan status mana-mana permohonan hanya apabila anggota UMNO mengisytiharkan diri keluar daripada parti dan menyatakan pendirian terhadap PH.

Jelasnya, mesyuarat berkenaan juga membincangkan hala tuju seterusnya selepas misi menumbangkan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berjaya dilakukan.

-- BERNAMA