Kabinet bincang HSR esok - Anthony Loke




Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Kabinet akan membincangkan mengenai projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) antara Kuala Lumpur dan Singapura dalam mesyuarat mingguannya esok, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

"Saya pasti ia akan dibentangkan kepada (mesyuarat) Kabinet esok...jadi, kita tunggulah keputusan Kabinet esok," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Wesak di Tokong Buddha Maha Vihara di Brickfields di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan anggota Unit Komunikasi UMNO Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan bahawa kerajaan membuat kesilapan besar apabila memutuskan untuk membatalkan projek HSR itu.

Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan bahawa Malaysia akan membatalkan projek berkenaan dan mungkin perlu membayar pampasan sebanyak RM500 juta kepada Singapura.

Projek HSR, yang membabitkan laluan sepanjang 335 kilometer, akan dibina dari Kuala Lumpur ke Singapura. Ia dijadualkan siap pada 2026.

-- BERNAMA