Pemuda PH Terengganu harap ada wakil dalam Kabinet




KUALA TERENGGANU, 30 Mei (Bernama) -- Pemuda Pakatan Harapan (PH) Terengganu berharap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan meminggirkan wakil Terengganu dalam senarai penuh kabinet yang bakal diumumkan nanti.

Ketuanya, Hasbie Muda berkata adalah penting untuk kabinet Malaysia mempunyai wakil dari negeri itu agar suara dan segala kepentingan rakyat Terengganu boleh disuarakan dan tidak terlepas pandang di peringkat kerajaan pusat.

"Kami sebulat suara mencadangkan Pengerusi PH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad sebagai wakil Terengganu untuk berada dalam kabinet.

"Selain status beliau sebagai orang nombor satu PH Terengganu, beliau juga merupakan tokoh yang konsisten menyuarakan isu-isu dan permasalahan yang melibatkan kepentingan rakyat negeri ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat Pemuda PH Terengganu semalam.

Hasbie menambah Raja Kamarul Bahrin turut mendapat sokongan dari wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tokoh masyarakat negeri Terengganu sebagai wakil negeri itu ke Kabinet.

"Kami berharap agar Perdana Menteri dan pimpinan tertinggi PH nasional dapat mempertimbangkan cadangan ini bagi memastikan suara rakyat Terengganu juga berada dalam kabinet," katanya.

-- BERNAMA