Kerajaan batal projek HSR, Laluan 3 MRT - Perdana Menteri





PUTRAJAYA, 30 Mei (Bernama) -- Kerajaan komited untuk mengurangkan pinjaman negara dengan membatalkan projek-projek mega yang menelan kos berbilion ringgit seperti projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dan Laluan 3 Transit Aliran Berkapasiti Tinggi (MRT).

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata projek-projek itu akan memerlukan pembiayaan yang amat besar sekiranya diteruskan kerana pinjaman negara telahpun tinggi.

"Sekiranya negara mahu mengelak daripada bankrap, kita perlu belajar bagaimana untuk menguruskan hutang kita yang besar dan salah satu caranya adalah menghentikan projek-projek yang tidak memberi manfaat kepada kita," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet, di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata kabinet bersetuju membatalkan projek HSR memandangkan implikasi kewangannya yang tinggi, namuk tertakluk kepada perbincangan dengan kerajaan Singapura.

Apabila ditanya sama ada kerajaan akan menimbang balik keputusan itu sekiranya kerajaan Singapura boleh membuktikan projek ini akan memberi faedah kepada Malaysia, beliau berkata: "Kami akan mendengar penerangan mereka. Mereka adalah rakan kita yang baik."

Perdana Menteri berkata satu taklimat penuh akan diadakan esok untuk memberitahu cara-cara Kementerian Kewangan mengawal kos pentadbiran negara.

Mengenai projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Dr Mahathir berkata projek itu belum lagi dibatalkan, memandangkan banyak wang yang telah dibelanjakan ke atasnya.

Beliau berkata kerajaan sedang mengkaji daya maju projek itu dan bagaimana untuk menanganinya dengan bijak.

Sementara, katanya, kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) akan dibentangkan di Parlimen pada November 2018, bersama dengan Bajet 2019.

"Kajian separuh penggal itu akan diubah suai dengan mengambil kira kemajuan projek dari 2016 hingga 2018 dan hala tuju kerajaan baharu bagi tempoh berbaki (RMK-11) dari 2018 hingga 2020," kata Dr Mahathir.

-- BERNAMA