Potong gaji: tiada perancangan setakat ini - MB
SEREMBAN, 30 Mei (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan setakat ini tidak ada perancangan untuk membuat pemotongan gaji sebanyak 10 peratus dalam kalangan barisan exco di negeri ini seperti yang disyorkan Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menteri Besar Aminuddin Harun berkata ini adalah kerana jumlah gaji barisan Exco Negeri Sembilan adalah diperingkat pertengahan berbanding negeri lain yang memperoleh gaji yang lebih tinggi.
"Setakat ini saya pertahankan... sebab kena lihat Negeri Sembilan tidak seperti negeri lain yang mana gaji barisan Exconya lebih tinggi."
"Untuk negeri yang tinggi gajinya mungkin syor ini adalah baik tetapi tidak di Negeri Sembilan," katanya selepas mempengerusi Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini, hari ini.
Ketua Umum PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengesyorkan agar kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan (PH) disaran mengambil langkah sama seperti Kerajaan Pusat yang memotong gaji anggota Jemaah Menteri sebanyak 10 peratus, sebagai langkah mengelakkan amalan boros, bermegah dan protokol yang berlebihan.
-- BERNAMA