Masa untuk menikmati hasil tuaian kita - Baru Bian




KUCHING, 30 Mei (Bernama) -- Rakyat Malaysia telah melalui proses pilihan raya yang sungguh mencabar lagi pahit serta terpaksa merempuh banyak rintangan yang diwujudkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah sebelum ini bagi menghalang pilihan raya daripada diadakan secara bebas dan adil, kata Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian.

"Akhirnya, kuasa rakyat mendapat kemenangan. Rakyat berhasrat memilih sebuah kerajaan baharu dan dengan berlandaskan ketabahan serta keazaman, mereka memberi mandat kepada kerajaan baharu. Sesungguhnya, kita menuai apa yang telah kita semai."

"Tahun ini, kita sambut kedatangan musim Gawai dengan rasa syukur lebih mendalam, setelah berjaya mengubah kerajaan di peringkat persekutuan," kata Baru, yang juga Anggota Parlimen Selangau, dalam perutusan Gawai Dayaknya hari ini.

Beliau berkata bersempena sambutan Gawai Dayak, rakyat juga perlu meraikan budaya dan adat masyarakat peribumi Sarawak.

Perayaan Gawai, kata Baru, tidak mempunyai unsur politik dan merupakan masa yang amat bermakna bagi rakyat Sarawak untuk memupuk kehidupan mereka sebagai masyarakat pelbagai budaya dan kaum.

Baru, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Ba'kelalan, berkata Gawai menyatupadukan seluruh rakyat Sarawak sebagai penduduk sebuah negeri.

"Ketepikan politik dan pilihan raya, marilah kita kembali kepada akar kita yang tertanam kukuh dalam persekitaran tenang dan damai, sambil bergembira dengan mengucapkan syukur kepada Tuhan," katanya.

-- BERNAMA