Gaji MB, Exco Kedah dipotong 10 peratus
Gambar fail
ALOR SETAR, 30 Mei (Bernama) -- Kerajaan Kedah bawah Pakatan Harapan (PH) memutuskan gaji asas Menteri Besar dan kesemua 10 anggota Exco akan dipotong 10 peratus, berkuat kuasa bulan ini.
Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata keputusan berkenaan diputuskan dalam Mesyuarat Exco yang diadakan di Wisma Darulaman di sini hari ini.
"Ia sebagai langkah menjimatkan perbelanjaan dan prihatin terhadap masalah kewangan negeri.
"Sesungguhnya, pimpinan kerajaan negeri bersama-sama dengan rakyat yang ketika ini menanggung pelbagai bebanan dan tanggungan kewangan," katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Mukhriz berkata keputusan sebulat suara itu juga selari dengan ketetapan dibuat kerajaan Persekutuan seperti yang diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa gaji asas Jemaah Menteri dipotong 10 peratus, berkuat kuasa serta merta.
-- BERNAMA