Kerajaan kekal pendirian batal HSR - Dr Mahathir





PUTRAJAYA, 30 Mei (Bernama) -- Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan tetap mempertahankan pendirian untuk tidak meneruskan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura bernilai RM110 bilion.

Perdana Menteri berkata adalah tidak efisien jika peruntukan yang begitu besar digunakan tetapi hanya menyediakan kira-kira 100,000 peluang pekerjaan.

"Jika anda belanjakan RM60 bilion hingga RM100 bilion supaya 100,000 orang dapat kerja, ini tidak efisien," katanya kepada pemberita selepas meraikan jemaah menteri, menteri besar, ketua menteri dan diplomat asing pada majlis berbuka puasa di sini malam ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempersoalkan keputusan kerajaan membatalkan projek HSR.

Menurut Najib, projek itu jika dilaksanakan akan mewujudkan 110,000 peluang pekerjaan dan dijangka terus meningkat sehingga 442,000 menjelang 2069.

Projek HSR yang membabitkan laluan sepanjang 335 kilometer itu dicadang dibina dari Kuala Lumpur ke Singapura. Ia dijadualkan siap pada 2026.

Sebelum ini, dalam satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet, Dr Mahathir berkata pembatalan projek itu tertakluk kepada perbincangan dengan Singapura kerana implikasi kewangan yang tinggi.

Najib berkata keputusan melaksanakan projek HSR dibuat berdasarkan kajian terperinci terhadap manfaat dari kos oleh kedua-dua pihak bertahun lamanya yang menurutnya turut membuktikan wujud manfaat sosial serta ekonomi bagi kedua-dua negara.

"Projek HSR Singapura-Kuala Lumpur bukan diilhamkan hanya berdasarkan kepada keputusan yang dibuat oleh satu negara sahaja," katanya menerusi catatan di laman Facebook dan Twitter beliau malam ini.

Menurut Najib terdapat permintaan luar biasa terhadap perjalanan Kuala Lumpur-Singapura dan kerana itulah HSR sebenarnya menguntungkan negara.

-- BERNAMA