Tajuddin akan bertanding jawatan tertinggi UMNO
PASIR SALAK, 31 Mei (Bernama) -- Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menyatakan hasrat untuk bertanding jawatan peringkat tertinggi parti itu pada pemilihan akan datang.
Beliau yang juga Anggota Parlimen Pasir Salak bagaimanapun berkata jawatan yang bakal ditandinginya itu akan diumumkan secara rasmi dalam satu sidang media di ibu negara pada Ahad ini.
Tajuddin berkata berdasarkan pengalaman selama 42 tahun menjadi anggota UMNO, beliau yakin dapat membantu mengembalikan zaman kegemilangan parti itu.
"Saya berharap kepimpinan UMNO yang terpilih kali ini biarlah mereka yang betul-betul memahami cabaran ketika ini dan apa yang perlu dilakukan untuk hadapi cabaran getir ini.
"Bagi saya kepimpinan UMNO amat penting kerana mereka yang akan menerajui 3.7 juta anggota UMNO untuk meneruskan obor perjuangan parti," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bahagian Pasir Salak di sini, malam tadi.
Bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu, mula menjadi anggota UMNO pada tahun 1976 dan telah menggalas tugas sebagai Ketua UMNO Bahagian selama 15 tahun sejak 2004.
-- BERNAMA