PM ucap selamat menyambut Pesta Kaamatan dan Hari Gawai
KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) -- Tun Dr Mahathir Mohamad mengucapkan selamat menyambut Pesta Kaamatan dan Hari Gawai kepada rakyat di Sabah dan Sarawak.
Perdana Menteri percaya perayaan itu disambut oleh semua kaum di Sabah dan Sarawak termasuk mereka yang berada di Semenanjung turut menyambut hari kebesaran itu.
"Maaf kerana terlewat menyampaikan ucapan ini kerana saya terlalu sibuk dan banyak lagi urusan-urusan yang perlu dibuat oleh perdana menteri," katanya menerusi video ucapan yang dimuat turun di Twitter dan Facebook miliknya.
Justeru itu, beliau berharap dapat dimaafkan dan berharap sambutan Hari Gawai dan Pesta Kaamatan ini berjalan dengan baik dan semua rakyat dapat bersuka ria pada sambutan itu.
Pesta Kaamatan atau perayaan menuai di Sabah merupakan satu perayaan selama sebulan khusus bagi masyarakat Kadazandusun, dan kemuncak perayaan disambut pada 30 dan 31 Mei.
Sambutan Hari Gawai pula diraikan pada 1 dan 2 Jun oleh masyarakat Dayak dan Iban di Sarawak.
-- BERNAMA