Yang Dipertua Negeri Anak Melaka Belum Difikirkan - Ketua Menteri





MELAKA, 2 Jun (Bernama) -- Ketua Menteri Adly Zahari berkata pihaknya belum lagi memikirkan untuk mencadangkan jawatan Yang Dipertua Negeri Melaka dilantik dalam kalangan anak Melaka apabila tempoh lantikan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob tamat kelak.

Beliau berkata ini kerana Kesultanan Melayu Melaka dahulu mempunyai wilayah amat luas justeru ini telah menyemai 'jiwa besar' dalam kalangan orang Melaka yang kini menerima semua penduduk negeri tanpa mengira latar belakang, sebagai sebahagian anak Melaka.

"Orang Melaka ini bersifat terbuka, berkahwin dengan orang Melaka juga (diterima sebagai) orang Melaka... sifatnya begitu kerana Melaka ini mewarisi sejarah begitu. Kalau tengok kita ada baba nyonya, chetti dan ini diterima orang Melaka sebagai sebahagian daripada kita sendiri.

Budaya Melaka begitu, orang Melaka tidak mempunyai sentimen (kenegerian). Bagi saya itu adalah kebijaksanaan orang Melaka," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai hakikat bahawa sejak negara Merdeka pada 1957, anak Melaka tidak pernah dilantik ke jawatan tertinggi negeri ini iaitu Yang Dipertua Negeri Melaka.

Pada 27 Mei 2016, Mohd Khalil mengangkat sumpah untuk penggal keempat sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka. Tempoh sepenggal sebelum ini adalah selama empat tahun.

Mohd Khalil yang berasal dari Kuantan, Pahang pertama kali mengangkat sumpah jawatan itu pada 4 Jun 2004 bagi menggantikan Tun Syed Ahmad Syed Mahmud Shahabudin. Isteri Mohd Khalil iaitu Toh Puan Zurina Kassim berasal dari Duyong, Melaka.

-- BERNAMA