Kerajaan Negeri Melaka beri peluang sama rata kepada ADUN pembangkang
MELAKA, 5 Jun (Bernama) -- Kerajaan Negeri Melaka akan memberi peluang sama rata kepada semua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk yang mewakili pembangkang pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka nanti.
Ketua Menteri Melaka Adly Zahari berkata peluang sama rata tanpa mengira parti itu diberikan bagi membolehkan semua wakil rakyat mengutarakan hujah-hujah bernas mengenai cadangan atau pandangan mereka.
"Kita juga akan melanjutkan tempoh perbahasan selaras dengan tujuan dewan dibentuk dengan harapan mutu perbahasan pada sidang DUN dapat dipertingkatkan, "katanya kepada pemberita selepas menutup Kursus Tatacara DUN Melaka Siri 1 Tahun 2018i di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Adly berkata beliau menjangka persidangan pertama DUN Melaka tidak akan melibatkan masa perbahasan yang panjang.
"Bagaimanapun, apabila melibatkan isu seperti bajet maka, kita akan memberi ruang kepada semua ADUN untuk membahaskan isu itu berikutan tujuan dewan dibentuk adalah untuk kesejahteraan...'hasilnya' adalah rakyat," kata beliau.
Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan negeri di Melaka apabila memperoleh majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lepas.
Barisan Nasional (BN) gagal mempertahankan negeri Melaka selepas hanya menang 13 kerusi DUN daripada 28 kerusi yang dipertandingkan.
-- BERNAMA