Berita Tergempar
FORMER INSPECTOR GENERAL OF POLICE (IGP) TUN MOHAMMED HANIF OMAR DIED AT 2.15 AM TODAY - SON | BEKAS KETUA POLIS NEGARA (KPN) TUN MOHAMMED HANIF OMAR MENINGGAL DUNIA PADA 2.15 PAGI TADI - ANAK | 

Kerajaan negeri PAS sedia terima kritikan - MB Terengganu




KUALA TERENGGANU, 5 Jun (Bernama) -- Kerajaan negeri Terengganu pimpinan PAS sentiasa terbuka untuk menerima sebarang kritikan atau pandangan daripada mana-mana pihak demi kebaikan rakyat.

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata semua kepimpinan tertinggi kerajaan negeri termasuk Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN), Anggota Parlimen, pegawai tadbir dan beliau sendiri perlu berlapang dada untuk menerima pandangan daripada pihak lain.

"Kita perlu ubah satu paradigma pemikiran bahawa ketua sentiasa betul. Pada saya, itu adalah satu pandangan yang silap kerana kita bekerja dalam satu pasukan, dari bawah hingga ke atas termasuk Menteri Besar haruslah dalam keadaan mindanya bersedia untuk sebarang kritikan membina.

"Dalam satu pasukan, sudah tentulah ada perkara-perkata tertentu sepanjang perjalanan kita memerintah dikesan pentadbiran lain, maka penambahbaikan boleh dibuat oleh mereka. Rakyat juga berhak sampaikan pandangan yang baik untuk kita bina Terengganu yang lebih baik dan penuh kasih sayang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Pegawai Tadbir Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Ditanya mengenai pertemuannya dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Perdana Putra semalam, Ahmad Samsuri berkata berkata ia adalah pertemuan tidak rasmi yang banyak membincangkan beberapa perkara namun enggan mendedahkan butirannya.

"Pertemuan itu berlangsung dalam keadaan yang sangat baik, sangat mesra di mana semua pihak teruja untuk berbincang dan berkomunikasi.

"Insya-Alah, diharap hubungan baik ini akan terus dikekalkan terutama dalam keadaan Terengganu adalah antara negeri yang pertama selesaikan pelantikan Menteri Besar dan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

"Kita bergerak dengan cermat dan lancar, sudah tentulah ia menyumbang kepada keseimbangan hubungan antara negeri Terengganu dan Persekutuan," katanya.

Selain itu, beliau berkata pengumuman mengenai pemberian bantuan bonus Aidilfitri kepada penjawat awam negeri akan dibincangkan dalam mesyuarat Exco yang berlangsung esok.

-- BERNAMA