Kerajaan Johor perlu wujudkan jawatankuasa khas kaji kos sara hidup - Muhyiddin
JOHOR BAHRU, 5 Jun (Bernama) -- Pengerusi Pakatan Harapan Johor Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mencadangkan agar kerajaan Johor membentuk jawatankuasa khas bagi mencari kaedah terbaik menyelesaikan isu kos sara hidup ditanggung rakyat.
Beliau berkata jawatankuasa tersebut haruslah terdiri daripada golongan pakar dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, perdagangan, perbekalan bahan-bahan makanan dan pertanian.
"Kos sara hidup ini merupakan satu isu yang tidak boleh dilihat di peringkat negeri sahaja malah di peringkat nasional.
"Bagaimanapun, untuk negeri Johor, saya cadangkan satu jawatankuasa tertinggi diwujudkan dan mengambil kira pakar-pakar dalam pelbagai bidang yang digandingkan dalam satu usaha yang jitu.
"Harapan rakyat terlalu tinggi pada kerajaan Pakatan Harapan (PH). Untuk itu, perkara ini perlulah menjadi agenda utama kerajaan dan diselesaikan seberapa segera," katanya.
Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di kediaman Menteri Besar Johor, di sini malam ini.
Beliau berkata kehidupan rakyat sama ada di bandar atau luar bandar sangat tertekan akibat pendapatan yang tidak dapat menampung kos sara hidup yang tinggi.
Oleh itu, kata Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri, jawatankuasa tersebut akan berfungsi untuk memantau dan menyelesaikan masalah-masalah rakyat dan juga perkara yang dapat diselesaikan dalam tempoh yang singkat.
Sehubungan itu, beliau turut menyentuh bidang pengeluaran hasil makanan dan menyebut perlunya tenaga kerja mahir dalam bidang itu bagi menentukan hasil pengeluaran makanan di Johor mencukupi bukan hanya untuk rakyat tempatan tetapi juga untuk eksport.
"Kita dapati di negeri Johor, masih ada banyak tanah yang berpotensi untuk dimajukan sama ada ia milik kerajaan atau individu di mana sebahagiannya terbiar dan tidak diusahakan.
"Kita juga mempunyai banyak kawasan perairan cetek, sungai, dan kawasan lombong yang boleh dijadikan sebagai tempat-tempat penternakan hasil laut dan sungai.
"Saya jangka kalau inisiatif seperti ini diambil, maka isu-isu bebanan kos sara hidup ini dapat dikurangkan terutamanya yang melibatkan bahan keperluan harian seperti sayur-sayuran, ikan, ayam, lembu, bekalan bahan daging lain, dan bagi yang bukan islam, khinzir," jelasnya.
Menurut Muhyiddin, usaha menjadikan Johor sebagai pengeluar bahan-bahan makanan yang banyak terkandung dalam manifesto kerajaan Pakatan Harapan.
-- BERNAMA