Usaha martabatkan Islam tetap jadi keutamaan kerajaan PH
ALOR SETAR, 7 Jun (Bernama) -- Kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) menyatakan komitmen untuk terus memartabatkan agama Islam di negara ini dalam usaha menegakkan syiar Islam sebagai teras pembangunan ummah untuk kehidupan lebih terjamin di dunia hingga akhirat.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan akan memastikan umat Islam di negara ini lebih berjaya dalam menyempurnakan agama dan perintah Allah SWT sebaik mungkin meskipun terdapat pihak yang sangsi dengan pakatan itu berhubung hal tersebut.
"Itu satu kewajipan kepada kita. (Jadi) pimpinan perlu jalankan tugas dengan beramanah, oleh itu usaha kita untuk membanteras rasuah kita usahakan juga. Tidak kira siapa buat rasuah, tindakan pasti kita ambil, rasuah boleh jadi barah dalam masyarakat."
"Sebarang urusan perlu dibuat secara tersusun, telus. Tidak boleh diam perbuatan tidak baik yang sememangnya salah daripada sisi agama dan undang-undang," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan di Masjid Alor Mengkudu di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.
Sementara itu, Muhyiddin, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata kerajaan PH membatalkan projek besar tidak berfaedah adalah sebagai langkah untuk mengutamakan usaha meringankan beban rakyat terlebih dahulu supaya mereka dapat hidup lebih selesa menerusi pengurusan kewangan negara yang cekap.
"Macam PM (Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad) maklumkam hutang negara cukup banyak. Ini memerlukan pengurusan (kewangan negara) cukup cekap, kumpulkan hasil negara untuk selesaikan bebanan yang kita ambil alih daripada kerajaan lama. Ini memerlukan kebijaksanaan luar biasa."
"Macam batal (projek) kereta api laju yang nak singkatkan (perjalanan) satu jam sahaja, projek tidak berfaedah...urusan (lebih) afdal yang perlu didahulukan adalah menentukan rakyat kita hidup lebih senang. Bagaimana kita nak bantu bebanan kos sara hidup dapat kita atasi. Kena cari jalan bagaimana nak selesai masalah rakyat," katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata kerajaan menggalakkan penduduk kampung mengusahakan tanah masing-masing dengan tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan dalam usaha meningkatkan pendapatan selain dapat membantu mereka mengurangkan kos sara hidup yang tinggi.
"Kita fokus kepada usaha keluarkan hasil makanan yang lebih. Sekurang-kurangnya mereka dah tak perlu lagi beli di luar sebab sudah tanam sendiri ini," katanya.
Muhyiddin berkata penduduk kampung boleh mengusahakan tanah mereka itu dengan bantuan kerajaan malah aktiviti pertanian seumpama itu juga digalakkan dalam Islam.
Sementara itu, Mukhriz berharap rakyat Kedah dapat terus memberi sokongan kepada kerajaan pusat dan kerajaan negeri supaya inspirasi yang hendak dijalankan dapat dilaksanakan.
"Macam-macam janji telah diberikan dalam manifesto, jadi kita hendak kotakannya dan sebab itu sokongan rakyat Kedah diperlukan supaya semua janji itu dapat dipenuhi dan membawa berkat kepada kita semua," katanya.
Mengenai sumbangan hari ini, Mukhriz berkata ia bertujuan mengiktiraf wira dan wirawati negeri ini antaranya golongan ustaz dan ustazah kampung, bidan kampung, jurumandi jenazah serta tok mudim.
"Kita ingin mengiktiraf golongan istimewa ini dengan memberi sumbangan namun jumlah yang diberikan ini sedikit kerana kerajaan negeri tidak mempunyai sumber kewangan yang banyak," katanya.
Seramai 1,271 penerima menerima sumbangan berbentuk wang tunai.
-- BERNAMA