Kerajaan WARISAN Sabah ambil peranan utama lindungi hak Sabah




SANDAKAN, 7 Jun (Bernama) -- Kerajaan negeri Sabah yang kini diterajui Parti Warisan Sabah (WARISAN) akan memainkan peranan utama melindungi hak-hak negeri ini, kata Pengerusi Tetap Warisan Datuk Liew Vui Keong.

Beliau berkata, dalam tempoh kurang daripada 100 hari memerintah Sabah, Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal telahpun mengambil beberapa langkah untuk melindungi kepentingan rakyat negeri ini, termasuk mengharamkan pengeksportan kayu balak yang akan mewujudkan peluang pekerjaan dalam sektor hiliran.

Menurut Anggota Parlimen Batu Sapi itu, Mohd Shafie juga kini sedang berusaha untuk menjaga hak-hak Sabah dalam industri minyak dan gas dan sumber maritim.

Beliau berkata dalam hal ini terdapat beberapa isu yang perlu ditangani termasuk dalam perundangan Persekutuan seperti Akta Perikanan, Akta Pelantar Benua, Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Akta Laut Wilayah.

"WARISAN konsisten dengan manifesto pilihan rayanya dan akan memenuhi janji-janji yang telah dibuat. Sebagai permulaan, seperti yang saya katakan sebelum ini, kita di Sabah akan menguruskan hal ehwal kita sendiri tidak seperti ketika kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Saya berharap rakyat Sabah tidak akan mudah percaya akan dakwaan beberapa bekas pemimpin BN yang boleh menimbulkan perpecahan dan ketidakpercayaan antara rakyat dan kerajaan baharu di bawah pimpinan WARISAN," kata Liew dalam satu kenyataan hari ini.

Mengenai Petroliam Nasional Berhad (Petronas) yang memfailkan saman atas pemilikan sumber petroleum dan menamakan Kerajaan Negeri Sarawak sebagai defendan, Liew berkata kedudukan Kerajaan Negeri Sabah mesti berbeza daripada Sarawak kerana Sabah perlu menekankan hak istimewanya sendiri.

Beliau berkata Sabah perlu untuk membawa isu pertukaran blok L dan M dengan kerajaan Brunei Darussalam, yang mana isu yang sama tidak berlaku di Sarawak.

Liew berkata terdapat juga isu pertindihan kawasan minyak dengan Indonesia di perairan Sabah yang dikendalikan oleh Petronas.

"Kita juga mesti menangani isu-isu alam sekitar sekiranya berlaku tumpahan minyak. Sarawak mempunyai undang-undang mereka sendiri untuk menangani perkara ini tetapi Sabah tidak ada.

"Saya percaya Peguam Besar Negeri Sabah akan melihat saman Petronas di Mahkamah Persekutuan itu dengan teliti dan akan menasihati kerajaan yang dipimpin oleh Warisan tindakan yang perlu diambil," kata Liew.

-- BERNAMA